Thursday, December 31, 2009

Tahun 2010/1431:Tahun Kebenaran. Insyaallah..


Bismillahirrahmanirrahim

Assalammualaikum & Salam Sejahtera

Alhamdulillah, syukur ke hadirat Allah swt kerna dengan limpah kurnia dan IzinNya, saya dapat melalui tahun 2009 ini dengan penuh tenang dan sabar.

Banyak kisah pahit dan manis telah saya dan seluruh keluarga tempuhi sepanjang tahun ini. Apabila saya menoleh kebelakang, saya juga tidak sangka bahawa kami dapat/telah menempuhinya. Itulah kebesaran Allah.

Saya menganggap tahun 2009 adalah tahun peralihan dan tahun menimba ilmu buat saya. Banyak ilmu, hikmah, kekuatan, taufiq serta hidayah yang saya perolehi dariNya yang akan saya jadikan permata hidup untuk bekalan pada tahun-tahun yang mendatang hatta ke akhirat. Syukur Alhamdulillah..

Insyaallah, berkat doa dan sokongan semua pihak selama ini, pada tahun 2010/1431 ini, kebenaran akan bangkit dengan IzinNya. Tahun 2010/1431, Tahun Kebenaran!

Menang atau kalah bukan matlamat saya. Kerna pada hemat saya, tugas yang diamanatkan olehNya pada saya hanya untuk menyampaikan Kebenaran. Dan dalam perjuangan ini, tempatnya adalah di Mahkamah, dengan memberi keterangan serta segala bukti-bukti yang ada. Lebih daripada itu saya serah sepenuhnya kepadaNya.

Akhir kalam, saya ingin mengucapkan jutaan penghargaan dan terima kasih pada semua pihak yang telah banyak berdoa, memberi sokongan dan membantu secara langsung atau tidak sepanjang tahun 2009 ini. Insyaallah, segala pengorbanan dan penat lelah anda selama ini tidak akan sesekali saya sia-siakan. Semoga Allah memberi kekuatan dan membalas jasa-jasa anda sekalian.

Perjuangan belum selesai. Nikmat dunia telah saya korbankan demi sebuah Kebenaran. Saya akan terus istiqamah dan bersabar dalam perjuangan ini, tidak sesekali saya akan menyerah kalah.

Saya tidak mempunyai apa-apa, hanya Allah swt tempat saya bergantung. Jika ditakdirkan saya tiada didunia ini lagi, teruskanlah sehingga Kebenaran itu bangkit!.

Saya percaya, setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Allah Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa.

Kepada Allah saya berserah

Selamat Tahun Baru 2010, Salam Maal Hijrah 1431


Yang HAK pasti BERDIRI, Yang BATIL pasti JATUH!
SAIFUL BUKHARI

Wednesday, December 30, 2009

6hb Januari: Rayuan permohonan tertuduh di Mahkamah Persekutuan



*Ulasan saya dibawah*

PUTRAJAYA 29 Dis. - Rayuan akhir Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan semua dokumen penting pendakwaan dan contoh spesimen Mohd. Saiful Bukhari Azlan bagi pembelaan kes liwatnya akan didengar di Mahkamah Persekutuan pada 6 Januari ini.

Tarikh tersebut dimaklumkan melalui faksimile yang dihantar oleh Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan di Istana Kehakiman di sini ke pejabat peguamnya, S.N. Nair hari ini.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan pendakwa raya dan menolak rayuan balasnya bagi mendapatkan dokumen-dokumen tersebut.

Pada 6 November lalu, panel tiga hakim diketuai Datuk Hasan Lah sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur agar dia dibekalkan dengan dokumen pendakwaan bagi menyediakan pembelaannya.

Beliau yang bersidang bersama Hakim Datuk Wira Abu Samah Nordin dan Hakim Datuk Sulaiman Daud turut menolak rayuan balas pemimpin pembangkang itu supaya dia diberikan spesimen asid deoksiribonukleik (DNA) yang telah diuji milik Mohd. Saiful Bukhari, 24, yang juga pengadu kes.

Pada 16 Julai lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah membenarkan permohonan Anwar agar pendakwa raya membekalkan dokumen-dokumen penting bagi membantu beliau menyediakan pembelaannya.

Antara dokumen tersebut ialah rakaman percakapan Mohd. Saiful Bukhari; Dr. Osman Abdul Hamid dari Hospital Pusrawi; pemilik kondominium, Hassanuddin Abdul Hamid dan tiga lagi saksi.

Dokumen lain yang gagal diperoleh oleh Anwar termasuk laporan perubatan pakar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), laporan kimia dan senarai saksi pendakwaan.

Ia juga melibatkan rakaman Sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV) dari pondok pengawal di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara dan kawasan lif Blok 11 kondominium itu di antara 25 dan 27 Jun tahun lalu.

Ketua pembangkang itu menghadapi tuduhan meliwat mangsa di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di ibu negara di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun tahun lalu.

- Utusan

-----------------------------------------------

[Ulasan Saya]Alhamdulillah, setelah 2 Bulan menunggu tarikh permohonan rayuan ini didengar, akhirnya Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 6hb Januari 2010 untuk mendengar rayuan bagi permohonan tertuduh tersebut. Saya amat berharap bahawa prosiding itu nanti tidak akan mengambil masa yang lama untuk diputuskan.

Saya berkeyakinan penuh pada Mahkamah dan saya percaya bahawa hari perbicaran penuh/Hari Kebenaran untuk saya memberi keterangan tetap akan tiba tidak lama lagi. Ikut jadual, pada 25hb Januari 2010, 26 hari sahaja lagi.

Menjelang 25 Januari 2010 ini, mohon doakan agar tiada lagi penangguhan perbicaraan. Juga, harap tiada lagi permohonan-permohonan yang boleh melengahkan perbicaraan penuh bagi saya memberi keterangan.  Saya sudah lama bersedia untuk beri keterangan. Pada pihak berkenaan,  cukuplah selama ini 1 1/2 tahun  prosiding perbicaraan penuh terpaksa ditangguhan kerana permohonan-permohonan serta dolak-dalih tertuduh.




Setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya, saya akan terus istiqamah dan bersabar. Kepada Allah saya berdoa dan berserah..

Yang HAK pasti BERDIRI, Yang Batil pasti JATUH!

SAIFUL BUKHARI 


26 hari ke Hari Kebenaran -


Pautan
p/s:Untuk mengikuti perkembangan dan berinteraksi dengan saya dengan lebih dekat lagi, boleh add saya di www.facebook.com/saifulbukhari . Terima kasih. Salam perkenalan & Selamat Tahun Bru!(nota: Hanya "valid" profil yang akan saya terima.Tk) 

Friday, December 18, 2009

Salam Maal Hijrah 1431


Assalammualaikum wrbt,

Semalam, seharian saya bermuhasabah(post-mortem) tahun 1430, dan merangka azam/matlamat serta pelan untuk tahun 1431.

Saya tidak mahu mengulas panjang mengenai apa outcome(hasil) daripada sesi muhasabah(post-mortem) tersebut, cukup untuk saya memanjatkan rasa Syukur ke hadhirat Illahi diatas petunjuk & hidayah yang diperoleh dariNya. =)

Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya tidak pernah sekali menyesal akan keputusan "penghijrahan" saya pada tanggal 28hb Jun 2008 lalu. "Pada hemat saya, biarlah diri ini dihina oleh jutaan manusia dan hilang segala nikmat dunia ini daripada dihina Allah swt, hidup dalam jiwa yang tidak tenang dan ditarik nikmat di akhirat akibat tidak berani menegakkan yang Hak"

Insyaallah, saya akan terus istiqamah dan bersabar dalam perjuangan ini. Tidak sesekali saya akan menyerah kalah walaupun sudah lama menanti(lebih kurang satu tahun setengah) ekoran daripada dolak-dalih tertuduh yang nyata ingin menawan dan melemahkan saya sebelum perbicaraan sebenar dalam "Peperangan Psikologi"/"Psychological Game" yang direkanya ini.

Saya tiada apa-apa. Saya hanya ada Allah swt sebagai tempat saya bergantung dan memohon pertolongan. Syukur Alhamdulillah, Allah telah memberi saya pertolongan, taufiq dan hidayah untuk mengharunginya dengan penuh tenang dan sabar. Kisah pejuangan dan kesabaran Rasulullah SAW dalam menegakkan yang HAK juga sentiasa dijadikan panduan dan pedoman dalam perjuangan ini.
 
Bagi saya, semua yang berlaku ini ada hikmahnya, dan Alhamdulillah, sikit demi sedikit saya dan mungkin anda sendiri telah melihat hikmahnya.

Akhir kalam, saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak yang telah banyak berdoa dan memberi sokongan moral pada saya, termasuk rakan-rakan bloggers, forum dan rakan-rakan di laman-laman sosial seperti di Facebook.

Kepada anda yang ingin melakukan pengHijrahan, Selamat berhijrah saya ucapkan. Usah gentar, Yakin pada Allah swt, Insyaallah anda akan dapat keberkatan dan pertolongan dariNya.

Salam Maal Hijrah 1431 diucapkan buat semua! =)

Kepada Allah saya berserah..



Yang HAK pasti BERDIRI, Yang BATIL pasti JATUH!

SAFUL BUKHARI 

Pautan

p/s:Untuk mengikuti perkembangan dan berinteraksi dengan saya dengan lebih dekat lagi, boleh add saya di www.facebook.com/saifulbukhari . Terima kasih. Salam perkenalan & Salam Maal Hijrah!(nota: Hanya "valid" profil yang akan saya terima.Tk)

    Friday, December 11, 2009

    Gugur Kes Tanpa Bicara: Bukti penyokong tertuduh juga MAHUKAN perbicaraan


    Ketua AMK, Saudara Sam 
    Foto by Malaysiakini


    Mahu dibicarakan! Tegas penyokongnya
    Foto GAP

    Berikut adalah kenyataan saya diblog ini pada 30hb Nov 2009;

    "Untuk makluman, ramai juga diantara mereka(penyokong, rakan dan barisan pimpinan tertuduh) memberikan sokongan dan simpati dalam diam. Walaupun ada diantara mereka yang masih enggan percaya, namun mereka semua bersetuju agar kes ini dibicarakan bagi mengetahui kebenaran dan kesahihannya, bukannya lari dari perbicaraan. Terima kasih diucapkan kerana bersikap rasional dan adil". - 30hb Nov 2009 (klik disini)


    Dalam kenyataan saya itu, saya ada menyatakan bahawa walaupun ada diantara penyokong tertuduh masih enggan percaya, namun majoriti mereka bersetuju agar kes ini dibicarakan di Mahkamah bagi mengetahui kebenaran dan kesahihannya.

    Hatta inilah buktinya. Berikut adalah desakan penyokong tertuduh pada hari ini;

    "Kira-kira 30 anggota PKR mengadakan protes secara aman di luar Masjid Jamek Seberang Jaya di Pulau Pinang selepas solat Jumaat hari ini. Protes tersebut, yang diketuai Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin, mendesak kerajaan pusat membenarkan Mahkamah Syariah turut mendengar kes liwat terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Menurut mereka, prosiding Mahkamah Syariah boleh berjalan serentak dengan prosiding di mahkamah sivil." Malaysiakini,13hb Dis 2009

    Alhamdulillah, setelah lama mereka(penyokong tertuduh) berdiam diri dan bersabar menanti bila perbicaraan ini akan berjalan, akhirnya pada petang tadi mereka bersuara dan meluahkan perasaan dihati yang sudah lama dipendam.

    Walaupun mereka mendesak agar kes ini dibicarakan di Mahkamah Syariah, namun mereka juga turut mahukan kes ini dibicarakan di Mahkamah Sivil seiring dengan Mahkamah Syariah. Kesimpulannya, mereka mahukan kes ini DIBICARAKAN. Ternyata, mereka semua mahukan kebenaran. Ia sama sekali bertentangan dengan hasrat tertuduh yang sebelum ini mahu kes ini langsung tidak dibicarakan.

    Pada hemat saya pula, Insyaallah, saya sudah lama bersedia untuk memberi keterangan dalam perbicaraan.

    Buat tertuduh, penyokong anda pun telah bersuara. Mereka mahukan KEBENARAN. Jadi, janganlah berdolak-dalih lagi untuk berdepan dengan perbicaraan.

    Penyokong anda seru "Lawan Tetap Lawan"(tulisan banner pada gambar diatas), bukan "Tangguh Tetap Tangguh", seperti kata kolumnis Awang Selamat.


    Setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya, saya akan terus istiqamah dan bersabar. Kepada Allah saya berdoa dan berserah..

    Yang HAK pasti BERDIRI, Yang Batil pasti JATUH!

    SAIFUL BUKHARI

    p/s: Terima kasih Saudara Sam! 

    Pautan

    Thursday, December 10, 2009

    Rayu atau Tidak? Sekadar bertanya..


    Tertuduh bersama peguamnya,(dr tengah) S.N Nair, Karpal Singh
    Foto by Bro Freddy

    "Di luar mahkamah, seorang lagi peguam Anwar, Sankaran Nair menyatakan, notis rayuan dijangka difailkan esok dan pihaknya juga akan mengadakan perbincangan terlebih dahulu sama ada ingin mengemukakan permohonan menangguhkan perbicaraan atau sebaliknya."Utusan, 2/12/09

    "Karpal kemudian memberitahu media bahawa satu notis rayuan akan difailkan di Mahkamah Rayuan pada Rabu." Bernama 2/12/09


    Berikut adalah kenyataan peguam pihak tertuduh diluar Mahkamah selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan tertuduh untuk mengugurkan kes sebelum bicara tempoh hari.

    Jika diteliti pada kenyataan tersebut, pihak tertuduh berhasrat untuk mengemukan notis rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tempoh hari. Katanya "esok", esok itu bermakna Rabu, 2 Disember 2009. Namun sehingga ke hari ini(setelah seminggu), tiada khabar memberitahu bahawa mereka telah failkan notis tersebut.

    Pada kenyataan yang sama juga, pihak tertuduh berkata mereka mahu "mengadakan perbincangan terlebih dahulu sama ada ingin mengemukakan permohonan menangguhkan perbicaraan atau sebaliknya" Utusan, 2/12/09

    Hatta, persoalan saya adalah adakah pihak tertuduh berhasrat untuk kemukan rayuan? Jika tidak, syukur alhamdulillah..


    Bukan bermaksud untuk mencampuri urusan, sekadar ingin bertanya. Masa juga tinggal 45 hari sahaja lagi ke hari perbicaraan utama. Jika ada rayuan, dan jika ia tidak dapat diselesaikan sebelum 25hb Januari 2010 ini, kemungkinan besar perbicaraan utama tidak dapat dijalankan.

    Setiap permohonan atau rayuan akan memakan masa yang lama. Sebagai contoh, rayuan pihak tertuduh di Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan dokumen dan bahan bukti asal juga belum diketahui tarikh pendengarannya lagi walaupun sudah lebih kurang sebulan notis rayuan dibuat.



    Setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya, akan terus istiqamah dan bersabar. Kepada Allah saya berdoa dan berserah..

    Yang HAK pasti BERDIRI, Yang Batil pasti JATUH!

    SAIFUL BUKHARI

    Monday, December 7, 2009

    Peguam Tertuduh adalah Peguam Chin Peng


    Raja Aziz Addruse(Ketua Peguambela DSAI) bersama Chin Peng

    Oleh The Unspinners

    Barisan Peguam Anwar ada 12 orang - Karpal, Raja Aziz, Datuk Param, datuk Praba, SN Nair, R. Sivarasa, Edmund Bon, Amer Hamzah Arshad, Leela J. Jesuthasan, Latheefa Koya, Mohd. Razlan Jalaludin dan Saiful Izham Ramli

    Ketua barisan pegoam ini adalah peguam tersohor dan termasyur, Raja Aziz Adruse. Beliau pernah membela Anwar semasa kes mantan TPM berrhadapan dengan kes salah guna kuasa pada tahun 1998.

    Kali ini, Raja Aziz juga di lantik mengetuai barisan peguam Anwar menggantikan Sulaiman Abdullah. Raja Aziz juga dalah bekas Presiden Bar Council.

    Menarik Raja Aziz juga adalah peguam untuk Chin Peng, atau Ong Boon Hua. Beliau adalah pejuang hak asasi dan reformasi tahun 60an dan 70an.

    Kalau dah peguam sama, kenapa Anwar segan untuk meraikan majlis Perdamaian di Hadyai baru-baru ini pada 30hb November? Tidak viable untuk politik si pengkhianat bansga dan negara?

    Baca seterusnya perbualan forum MyKMU oleh Kadiology disini

    Pautan

    Saturday, December 5, 2009

    Al-fatihah, Muiz Roslin@Panda


    Jumaat, 5.10am


    Khamis 2.09pm

    "Mahu happy"Friday 5.10am, itulah pengunguman/shoutout terakhir Allahyarham Muiz Roslin,19 pada pagi sebelum beliau kembali ke rahmahtullah pada hari yang sama.

    "doa saya sentiasa di samping sdr dan keluarga." 3 Dec, 2009 2: 11 PM  Itulah pesanan terakhir Allahyarham Muiz Roslin buat saya di wall Facebook saya.

    Sedih apabila saya menerima berita ini. Walaupun kami hanya mengenali menerusi alam maya(facebook), saya tetap menganggap beliau sebagai seorang sahabat.Menurut adik arwah, beliau meninggal akibat semput/sesak nafas.

    Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan diletakkan dikalangan orang-orang yang BERIMAN..  Salam takziah diucapkan buat keluarga Arwah.. AL-FATIHAH..


    SAIFUL BUKHARI

    p/s: Penulis Mohd Sayuti Omar(mso) juga ada mengulas mengenai pemergian Allahyarham. Boleh klik disini untuk membacanya. Untuk makluman, Allahyarham juga adalah seorang Blogger, http://thedemocraticpandamonia.blogspot.com/


    Tuesday, December 1, 2009

    Permohonan Gugur Kes Ditolak! Syukur Alhamdulillah...


    Keratan Muka Hadapan Utusan 2/12/09

    *Ulasan saya dibawah

    KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini memutuskan bahawa ia tidak boleh membenarkan permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membatalkan pertuduhan meliwat terhadapnya hanya berdasarkan laporan perubatan yang menyatakan ketiadaan penetrasi.

    Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata laporan perubatan tidak boleh dijadikan asas untuk mahkamah menggunakan kuasa untuk membatalkan pertuduhan kerana mahkamah perlu mendengar keterangan saksi-saksi pihak pendakwaan terlebih dahulu.

    Pada peringkat ini, katanya, mahkamah bersetuju dengan hujahan Peguam Cara Negara Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden bahawa laporan-laporan tersebut terhad kepada pemerhatian dan pemeriksaan fizikal dan tidak konklusif sedangkan kes pendakwaan lebih berlandaskan kepada keterangan lisan, keterangan forensik dan keterangan lain.

    Beliau berkata dalam kes ini elemen penting untuk pihak pendakwaan ialah membuktikan bahawa adanya kemasukan zakar tertuduh ke dalam dubur pengadu.

    "Terpulang kepada pihak pendakwaan bagaimana ia ingin membuktikan elemen tersebut," kata Mohamad Zabidin.

    Beliau berkata sudah semestinya laporan perubatan merupakan satu daripada keterangan yang boleh diguna, sama ada oleh pihak pendakwaan untuk menyokong keterangan berhubung isu kemasukan, atau oleh pihak pembelaan untuk menimbulkan keraguan berhubung keterangan berkenaan, atau untuk menunjukkan tidak terdapat kemasukan.

    Anwar pada 17 Jun lalu membuat permohonan membatalkan pertuduhan terhadapnya setelah mengaku tidak bersalah pada 10 Mac terhadap dakwaan meliwat Mohd Saiful Bukhari, 24, bekas pembantu peribadinya, di sebuah kondominium di Bukit Damansara di sini pada 27 Jun tahun lepas.

    Mohamad Zabidin juga berkata isu kedua yang mahkamah mengambil perhatian adalah dakwaan pemohon kononnya pertuduhan terhadap beliau mempunyai niat jahat dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

    Beliau berkata hujah pemohon melalui afidavitnya yang mengkaitkan peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan insiden "mata lebam" pada 1998 dengan pasukan pendakwaan yang mengendalikan kes terbaru boleh menyebabkan mereka boleh bersikap berat sebelah adalah tidak dapat diterima.

    "Beban untuk membuktikan terdapat niat jahat di pihak pendakwa dalam membawa pertuduhan terkini terhadap pemohon terletak di bahu pemohon. Afidavit pemohon ada menyenaraikan Tan Sri Gani dalam apa yang didakwa cuba putar belit atau mencipta keterangan terhadap pemohon dalam tahun 1998.

    "Walaupun begitu, tidak ada apa-apa yang menunjukkan perkara yang sama berlaku dalam kes terkini," kata Mohamad Zabidin.

    Beliau berkata hanya dengan menunjukkan bahawa barisan pendakwaan yang mengendali kes terbaru ada pengetahuan tentang peranan Gani dalam kejadian 1998, tidak cukup untuk mahkamah mendapati dalam kes terkini mereka akan bersikap berat sebelah.

    Mohamad Zabidin menetapkan tempoh sebulan bermula 25 Jan tahun depan untuk perbicaraan kes walaupun peguam Karpal Singh membantah kerana anak guamnya ingin memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

    Karpal kemudian memberitahu media bahawa satu notis rayuan akan difailkan di Mahkamah Rayuan pada Rabu.

    Anwar turut hadir di mahkamah pada Selasa.

    -- BERNAMA

    ----------------------------------------------

    [Ulasan Saya] Syukur Alhamdulillah, berkat doa semua pihak, dan setelah 6 bulan saya bersabar menanti kesudahan permohonan tertuduh untuk gugurkan pertuduhan sebelum perbicaraan ini, akhirnya Mahkamah telah membuat keputusan untuk menolak permohonan tersebut pada hari ini.
     
    Dengan itu, Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 25hb Januari 2010. Walaubagaimanapun, menurut peguam belanya Karpal Singh, tertuduh akan memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan pada rabu ini. Diharap, ia tidak memakan masa yang lama untuk didengar dan diputuskan..

    Perjuangan masih belum selesai, masih banyak lagi halangan dan cabaran yang menanti dihadapan. Saya berharap agar tiada lagi mana-mana pihak membuat apa-apa helah untuk menghalang perbicaraan ini daripada diteruskan. Insyaallah, walau apapun yang bakal terjadi, saya akan terus Istiqamah dan Bersabar, TIDAK SESEKALI saya akan menyerah kalah!

    Akhir kalam, saya bersyukur dengan apa yang diperolehi setakat ini. Ia akan dijadikan pemangkin dan pembakar semangat untuk saya meneruskan perjuangan.

    Pada mereka yang telah banyak memberi sokongan dan doa, jutaan terima kasih diucapkan. Saya benar-benar terharu dengan doa dan sokongan yang diberi.

    Sudah 1 1/2 tahun saya menunggu dengan sabar untuk beri keterangan di Mahkamah. Namun saya yakin, setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya...

    Allah Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa. KepadaNya saya berserah..

    Yang HAK pasti BERDIRI, Yang BATIL pasti JATUH

    SAIFUL BUKHARI

    Pautan

    p/s:Untuk mengikuti perkembangan dan berinteraksi dengan saya dengan lebih dekat lagi, boleh add saya di www.facebook.com/saifulbukhari . Terima kasih. Salam perkenalan.