Thursday, September 13, 2012

Tarik balik saman?

Assalamualaikum & Salam Sejahtera.

Pada 30hb Jun 2008, iaitu 2 hari setelah saya membuat laporan polis bahawa diri saya diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim , beliau telah memfailkan saman fitnah ke atas saya atas dakwaan kononnya saya telah membuat satu laporan palsu.

Namun setelah 4 tahun, dan berulang kali ia dilengah dan ditangguh, semalam, beliau menarik balik saman ke atas saya, dengan alasan namanya sudah bersih. Sebenarnya dari awal lagi, saya amat bersetuju jika kes saman ini diteruskan, kerana ia dapat memperlihatkan kebenaran pada semua.

Pada pendapat saya, beliau dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi hanya disebabkan faktor-faktor teknikal. Ini kerana didalam penghakiman penuh, saya percaya bahawa kredibiliti dan keterangan saya adalah "intact".

Saya juga percaya bahawa bagi mana-mana perbicaraan saman sivil, plantif (dalam kes ini adalah DSAI) pada kebiasaannya perlu memberikan keterangan secara BERSUMPAH dari kandang saksi untuk disoal balas oleh pihak defendan. Adakah keadaan ini yang membuat beliau gusar dan takut?

Kebiasaannya, setiap langkah beliau ada muslihat disebaliknya. Semoga saya terus dibawah bimbingan dan perlindunganNya.

Apapun saya telah lama bersedia dan tidak gentar. Jauh sekali berganjak dari apa yang saya perjuangkan selama ini.

Yang pasti, saya akan terus berdoa, Istiqamah dan sabar.

Berani kerana benar

SAIFUL BUKHARI AZLAN

Wednesday, July 11, 2012

Syukur... Rayuan telah difailkan

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Saya bersyukur kehadrat Allah SWT dan menerima baik keputusan Pihak Peguam Negara didalam memfailkan Petisyen Rayuan ke Mahkamah Rayuan kelmarin terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9hb Januari 2012 yang telah melepas dan membebaskan tertuduh.

Saya dan keluarga ingin menyatakan disini bahawa dengan pemfailan Petisyen Rayuan tersebut, hak untuk aduan saya sebagaimana laporan polis yang saya buat pada tahun 2008 didengar dan melalui proses keadilan sehingga ke peringkat Mahkamah yang tertinggi menurut undang-undang adalah terlaksana.

Kami berharap, tarikh rayuan yang bakal ditetapkan kelak tidaklah terlalu lewat dan prosiding berjalan dengan lancar.

Untuk rekod, pada 28 Jun lepas, genap 4 tahun dari hari saya membuat laporan polis. Walaupun ia satu tempoh yang lama, namun saya akan terus berdoa, istiqamah dan sabar, tidak sesekali saya akan menyerah kalah.

Akhir kalam, Saya dan keluarga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang secara langsung dan tidak langsung memberi sokongan kepada saya agar hak saya sebagai warganegara untuk melalui proses keadilan ke peringkat Mahkamah Rayuan terlaksana.

Kepada Allah saya berserah.

SAIFUL BUKHARI AZLAN

11hb Julai 2012

Wednesday, July 4, 2012

"Mohon Petisyen Rayuan di Failkan" . Kenyataan Media Bapa


KENYATAAN MEDIA BAPA, AZLAN MOHD LAZIM. 

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera.

1. Saya difahamkan melalui berita bahawa Alasan Penghakiman Penuh kes anak saya telah di keluarkan secara rasmi oleh Mahkamah Tinggi.

2.Sehingga kini, saya dan keluarga belum dapat membacanya, justeru kami tidak dapat mengulas mengenainya.

3. Walaupun beberapa bulan (6bulan) menanti ia dikeluarkan, namun saya dan keluarga menyambut baik dengan perkembangan terbaru ini.

4. Namun, apa yang penting bagi saya dan keluarga adalah agar Yang Berbahagia Peguam Negara mengambil pertimbangan yang sewajarnya didalam memfailkan Petisyen Rayuan tersebut dalam jangka masa yang ditetapkan, yang kini saya percaya tinggal kurang dari 10 hari sahaja lagi.

5. Saya percaya bahawa hak untuk anak saya sebagai seorang warganegara dan rakyat yang menjunjung Perlembagaan Malaysia untuk melalui proses Rayuan dan hak untuk aduan anak saya diadili sehingga ke peringkat Mahkamah Yang Tertinggi tidak akan diabaikan dan tidak dinafikan oleh pihak Yang Berbahagia Peguam Negara.

6. Saya dan keluarga amat yakin dengan kepakaran pihak Yang Berbahagia Peguam Negara dan barisan pendakwaan dalam mengenal pasti alasan-alasan bagi menyediakan  satu petisyen rayuan yang terbaik.

7. Apapun saya berharap, Yang Berbahagia Peguam Negara tidak akan mudah terpengaruh dengan desakan mana-mana pihak yang tidak mahu petisen rayuan tersebut difailkan.


AZLAN MOHD LAZIM

Friday, January 20, 2012

Syukur.. Peguam Negara failkan Notis Rayuan... disaat akhir 4.15pm



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Saya bersyukur kehadirat Allah SWT dan menerima baik keputusan Yang Berbahagia Tan Sri Peguam Negara didalam memfailkan Notis Rayuan ke Mahkamah Rayuan pada petang tadi terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari 2012 yang lepas.

Saya dan keluarga saya juga ingin menyatakan disini bahawa dengan pemfailan Notis Rayuan tersebut, hak untuk aduan saya sebagaimana laporan polis yang saya buat pada tahun 2008 didengar dan melalui proses keadilan sehingga ke peringkat Mahkamah yang tertinggi menurut undang-undang adalah terlaksana.

Saya dan keluarga juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang secara langsung dan tidak langsung memberi sokongan kepada saya agar hak saya sebagai warganegara untuk melalui proses keadilan ke peringkat Mahkamah Rayuan terlaksana.

Saya akan terus berdoa, istiqamah, sabar

Kepada Allah saya berserah.

SAIFUL BUKHARI AZLAN
20hb Januari 2012

Thursday, January 19, 2012

Permohonan Rasmi saya pada YBhg Peguam Negara



Assalammualaikum,

Untuk makluman semua, semalam, peguam saya Tetuan Zamri Idrus & Co telah menghantar sepucuk surat rasmi bagi pihak saya kepada YBhg Tan Sri Abd Ghani Patail, Peguam Negara, memohon beliau untuk memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Rayuan ke atas keputusan yang di buat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9hb Januari 2012.

Saya terpaksa mengutus sepucuk surat rasmi ini kerana sehingga ke hari ini tiada maklum balas terhadap permohonan terbuka saya dan bapa dari YBhg Tan Sri sama ada beliau akan memfailkan rayuan atau tidak. Masa juga semakin suntuk.

Rayuan ini penting kerana ia membabitkan maruah dan masa depan saya.

Jika saya berhak memfailkan rayuan itu sendiri, saya akan berbuat demikian tanpa menyusahkan individu lain. Namun kuasa mutlak untuk memfailkan rayuan, hanya terletak ditangan Peguam Negara.

Pada hemat saya, saya hanya menuntut hak saya sebagai warganegara Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dimana setiap aduan itu berhak didengar dan diadili sehingga ke peringkat Mahkamah Tertinggi.

Saya berdoa agar Peguam Negara mempertimbangkan permohonan saya ini.

Terima kasih saya ucapkan pada rakan-rakan dan semua pihak yang mendoakan dan menyokong saya untuk permohonan rayuan ini.

Saya akan terus berdoa, sabar dan istiqamah.

SAIFUL BUKHARI AZLAN
19hb Januari 2012

Wednesday, January 18, 2012

Dua hari sebelum rayuan ditutup, permohonan terbuka Bapa kepada YBhg Peguam Negara



KENYATAAN MEDIA

1) Saya sebagai Bapa kepada Mohd Saiful Bukhari bin Azlan berharap Yang Berbahagia Tan Sri Peguam Negara sebagai Pendakwa Raya dapat memfailkan Notis Rayuan keatas keputusan Mahkamah Tinggi pada 9hb Januari yang lepas.

2) Saya sebagai Bapa merasa sedikit risau kerana sehingga ke hari ini tiada perkembangan berkenaan pemfailan rayuan tersebut oleh kerana saya percaya tempoh masa untuk memfailkan Notis Rayuan tersebut hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi.

3) Walaubagaimana pun saya percaya Yang Berbahagia Peguam Negara akan mengambil pertimbangan yang sewajarnya didalam pemfailan Notis Rayuan tersebut.

4) Saya juga percaya bahawa hak untuk anak saya sebagai seorang warganegara dan rakyat yang menjunjung Perlembagaan Malaysia untuk melalui proses Rayuan dan hak untuk aduan anak saya diadili sehingga ke peringkat Mahkamah Yang Tertinggi tidak akan diabaikan dan tidak dinafikan oleh pihak Yang Berbahagia Peguam Negara.

5) Saya juga mohon pihak Yang Berbahagia Peguam Negara agar tidak terpengaruh dengan desakan Majlis Peguam atau mana-mana pihak agar tidak mengemukakan rayuan.


AZLAN MOHD LAZIM
18 Januari 2012

Wednesday, January 11, 2012

Bapa bidas Majlis Peguam, mohon Peguam Negara failkan rayuan.


KENYATAAN MEDIA


1) Saya Azlan Mohd Lazim, bapa kepada Mohd Saiful Bukhari Azlan berasa amat kecewa dengan kenyataan Majlis Peguam yang menyarankan agar pihak Peguam Negara tidak mengemukakan rayuan berhubung keputusan kes anak saya yang diputuskan mahkamah pada 9/1/2012.

2) Pada hemat saya, tindakan Majlis Peguam itu dilihat sebagai langkah untuk menidakkan hak seorang warganegara untuk diadili, dan didengar rayuannya sehingga ke peringkat yang tertinggi menurut Perlembagaan Malaysia.

3) Majlis Peguam seharusnya bersikap 'neutral' dalam melihat suatu proses keadilan berlangsung dan bukannya dengan menghalang proses keadilan berlangsung.

4) Adakah gesaan tersebut melambangkan pendirian semua peguam-peguam di Malaysia? atau hanya pendirian tertentu individu-individu yang menduduki kerusi Majlis Peguam yang berkepentingan politik?

5) Mengapa Majlis Peguam selama ini pernah tidak bantah pihak tertuduh dalam perbicaraan kes ini yang ikut rekod telah membuat 36 kali rayuan/permohonan? Ini baru kali pertama pihak kami mohon untuk buat rayuan sudah mahu dihalang. Mengapa ada 'double standard'? Adakah kerana anak saya hanya seorang insan kerdil, bukan seorang VIP, ahli politik, hak beliau dinafikan dengan begitu sahaja?

6) Demi anak saya, saya merayu agar pihak Peguam Negara memfailkan rayuan. Diharap pihak Peguam Negara tidak terpengaruh dengan desakan Majlis Peguam atau mana-mana pihak agar tidak mengemukan rayuan.

7) Sebagai bapa, Saya akan terus bersama anak saya dan berjuang untuk memastikan aduan anak saya ini mendapat pengadilan seadil-adilnya bagi mengembalikan nama, maruah beliau, juga seluruh keluarga saya.


AZLAN MOHD LAZIM
11hb Januari 2012

Monday, January 9, 2012

Illahi Antal Maksudi Wa Ridhoka Mathlubi



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Seperti semua sedia maklum, keputusan pada hari ini tidak memihak pada saya.

Namun, saya redha dan menghormati keputusan ini. Saya menerimanya dengan hati yang tenang.

Walaubagaimanapun, aduan saya sebagaimana laporan polis yang dibuat pada 28hb Jun 2008 mempuyai Hak untuk di adili hingga ke peringkat Mahkamah atasan. Oleh itu, Saya dan keluarga berharap agar pihak pendakwaraya dapat memfailkan dan membawa kes ini ke Mahkamah Rayuan.

Sebagai hamba Allah, saya percaya bahawa setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Perancangan Allah pastinya jauh lebih hebat dari manusia. Iman dan keyakinan saya pada Allah tetap teguh. Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Akhir kalam, saya ingin mengucapkan ribuan penghargaan kepada semua pihak, yang saya ketahui atau  yang tidak saya ketahui yang menyokong dan mendoakan saya selama ini.

Saya akan terus tenang, doa, istiqamah dan sabar. Tidak sesekali saya akan mengalah.

Jika tidak dunia, di Masyar PASTI.

"Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), 
tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, 
dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang besar." (At-Taubah 9:129)

Kepada Allah saya berserah.

Illahi Antal Maksudi Wa Ridhoka Mathlubi

SAIFUL BUKHARI AZLAN





Redha apa jua keputusan




KUALA LUMPUR 8 Jan. - Saksi utama kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd. Saiful Bukhari Azlan menyatakan bahawa dia reda dengan apa juga keputusan yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi di sini esok.

Mohd. Saiful Bukhari yang sebelum ini melalui detik sukar bagi mendapatkan keadilan bagi dirinya yakin kebenaran akan bangkit dan dia akan terus berdoa kepada Allah, selain bersabar atas semua dugaan yang diterimanya.

"Reda apa jua keputusan. Kepada Allah saya berserah. Akan terus doa, istiqamah dan sabar," katanya di dalam laman sosial Facebook miliknya hari ini.

Mahkamah Tinggi di sini sebelum ini menetapkan esok sebagai tarikh keputusan bagi kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang dan Mohd. Saiful Bukhari itu.

Perbicaraan kes itu bermula pada 3 Februari 2010 iaitu kira-kira dua tahun tujuh bulan selepas Anwar didakwa di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008.

Kes itu mengambil masa yang panjang untuk diselesaikan ekoran pelbagai permohonan difailkan oleh Anwar sehingga berpuluh-puluh kali penangguhan telah dibenarkan oleh mahkamah.

Mohd. Saiful Bukhari dalam pada itu turut mengucapkan terima kasih di atas doa dan sokongan rakyat Malaysia terhadapnya sebelum ini. Dia juga meminta semua terus berdoa agar kebenaran membabitkan kes itu muncul. - Utusan

---------------------------------------------------------------------------------------------

"Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang besar." (At-Taubah 9:129)

Tidak di dunia, di Masyar pasti. Yang Pasti, jika diambil nyawa, akan pergi dengan tenang, tiada lagi berhutang "Kebenaran" dengan sesiapa. InsyaAllah

Terima kasih diatas doa dan sokongan kalian selama ini. Hanya Allah yang dapat membalasnya.

Kepada Allah saya berserah..

SAIFUL BUKHARI AZLAN


p/s: Kenyataan reaksi saya mengenai keputusan penghakiman akan saya paparkan diblog ini. Harap maklum. Tk