Sunday, December 28, 2008
Salam Ma'al Hijrah 1430H
Terbenamnya fajar sebentar sahaja lagi menandakan telah masuknya bulan Muharram bagi semua penganut beragama Islam. Awal Muharram juga sinonim dengan nama Maal Hijrah yang diambil sempena memperingati penghijrahan Nabi Muhammad Rasullulah s.a.w dari kota Mekah ke Kota Madinah pada tahun 622masihi. Ia juga menandakan permulaan tahun Hijrah bagi umat Islam.
Umum mengetahui, konteks Hijrah ini tidak semestinya berpindah dari suatu tempat ke suatu tempat.Dalam konteks hijrah saya, saya telah berhijrah daripada seorang yang takut untuk menegakkan kebenaran kepada seorang yang berani untuk menegakkan kebenaran. Hijrah selalunya dihubung kait dengan risiko dan pengorbanan. Pada hemat saya, jika seseorang itu berhijrah kepada jalan yang lebih baik dan tidak lari dari ajaran Islam, Insyallah pertolongan dari Allah s.w.t akan tiba. Tetapi, seseorang itu perlulah berhijrah dengan penuh Ikhlas, Benar, Sabar serta berserah sepenuhnya kepada Allah s.w.t.
Sesungguhnya, harta dunia yang melimpah ruah dan kuasa sudah pasti berada didalam tangan jika saya masih bersama Anwar Ibrahim. Tetapi dalam mengejar cinta dan reda Allah s.w.t, tidak saya tergamak untuk memalingkan Nya demi nikmat dunia dan seorang munafik.
Hari ini, 28 Disember 2008 genaplah sudah 6 Bulan dari hari saya membuat laporan polis di wad OSCC Hospital Kuala Lumpur. Terus terang, inilah 6 bulan yang paling mencabar dalam hidup saya. Pelbagai tohmahan, fitnah, maki hamun dan pelbagai lagi oleh jutaan manusia dilempar kerana tidak mempercayai saya. Namun, Alhamdullilah saya bersyukur kerana dengan kuasa Allah s.w.t, saya, tunang, keluarga dan juga keluarga tunang telah diberi kekuatan, pertolongan dan semangat bagi mengharungi dugaan ini dengan penuh tenang dan sabar.
Bagi saya, saya hanya mampu berusaha untuk meyakinkan mereka tetapi yang boleh mengubah hati seseorang itu hanya Allah s.w.t. Saya hanya mampu berdoa dan berserah. Dalam tempoh 6 bulan ini juga, pelbagai pengalaman dan pelajaran dapat saya pelajari dan sekaligus mengubah diri saya. Ianya bagaikan mutiara hidup yang dapat saya kumpul sebagai bekalan di masa hadapan dan di akhirat kelak. Antaranya, saya benar-benar dapat menghayati konsep pengorbanan, hijrah dan konsep penyerahan diri kepada Allah s.w.t.
Saya tidak pernah sama sekali menyesal di atas pengorbanan dan penghijrahan ini, malah ia telah memberikan saya lebih semangat untuk menghadapi hari-hari mencabar di masa akan datang terutama semasa Hari Perbicaraan kes saya nanti. Walaupun terkilan diatas kelewatan hari perbicaraan, mungkin ini antara hikmahnya.
Jadi sama-samalah kita menyambut Maal Hijrah ini dengan rasa penuh keinsafan dan membina azam baru.
Salam Ma'al Hijrah.
SAIFUL BUKHARI
p/s: Buat semua sahabat, bloger-bloger seperti AIDC dan lain-lain, yang bersama-sama berjuang bagi menegakkan kebenaran ini, bersama-samalah kita berusaha dan berdoa kepada Allah s.w.t. Insyaallah dengan prinsip Ikhlas, Benar dan Sabar, Kebenaran Pasti Dapat Ditegakkan!!.
Subscribe to:
Posts (Atom)