Saturday, January 21, 2017

TRUMP, "THE MOVEMENT", dan Kerajaan Malaysia pada 2050

President Donald J. Trump. 45th President of The United States
Sempat menonton dan membaca teks ucapan,  Presiden Donald J. Trump sebentar tadi. Ia satu ucapan yang sangat berani dan hebat!

Beliau dengan bangga meraikan kejayaan "Movement" beliau dalam menumbangkan Institusi Politik Amerika yang beliau gelar "The Establishment", iaitu kelompok elitis politik yang mengawal institusi politik tidak kira dari Parti Democrat atau Republican, penyumbang dana politik,  termasuk para pelobi.

Yang pasti, antara para "The Establishment" yang beliau maksudkan hadir, berada dibelakang beliau, dipentas yang sama.

Beliau berkata, upacara peralihan kuasa hari ini bukan sahaja dari pentadbiran lama beralih ke pentadbiran baru, tetapi ia adalah upacara peralihan kuasa dari Washington D.C kepada seluruh rakyat Amerika! Juga,  kemenangan beliau hari ini adalah kemenangan rakyat.

Sama ada "Movement" ini sekadar retorik atau tidak, sama-sama kita saksikan sehingga beliau tamat tempoh kuasanya.

Apapun, kemenangan "Movement" rakyat yang diketuai Donald Trump ini diharap memberi kesedaran dan keinsafan kepada seluruh kelompok elitis politik di dunia, termasuk di negara kita, di mana rakyat biasa(yang diluar kelompok elitis politik) juga boleh diangkat sebagai pemimpin, kerana rakyat sudah muak melihat mereka asyik berpolitik, tidak menjaga kepentingan rakyat dan bosan dengan pilihan yang ada.

Di negara kita, setelah 60 tahun kita Merdeka, jelas membuktikan Institusi Politik tanah air sekarang ke arah membentuk "Kelompok Elitis Politik".

Baik parti-parti pembangkang atau kerajaan, masing-masing sedang membina dinasti. Pusing pilih parti mana pun muka sama, susur galur sama dah puluhan tahun, ditambah lagi para elitis politik yang lompat parti untuk mendapat "nyawa politik" baru.

Kelmarin PM ajak kita fikir tentang TN50, iaitu masa depan Malaysia pada 2050.

Justeru, pada hemat saya,  Malaysia pada 2050, jika sikap, pendekatan dan trend elitis politik tidak berubah, rakyat akan memilih pimpinan, kerajaan dari gerakan luar institusi politik kepartian dan luar kelompok elitis politik dari susur galur sedia ada.

SAIFUL BUKHARI AZLAN
21hb Januari 2017
Marang, Terengganu

#PresidentTrump #TheMovement #Malaysia2050 #TN50

p/s: Ini adalah sekadar pendapat peribadi saya. Jika ada kekhilafan, mohon nyatakan. Untuk rekod sehingga kini saya belum pernah menjadi ahli mana-mana parti politik