Monday, November 30, 2009

Kes Gugur Esok? Saya bakal dipenjara?



Assalammualaikum & Salam Sejahtera,

Esok pagi , di Mahkamah Tinggi Jln Duta, adalah keputusan permohonan tertuduh untuk gugurkan pertuduhan sebelum dibicarakan.

Implikasi terhadap diri saya jika kes ini digugurkan sebelum dibicarakan adalah amat besar, ke tahap boleh disaman tertuduh dan lebih teruk saya pula yang bakal dipenjarakan. Ini kerana secara tidak langsung ia membuktikan kononnya laporan polis yang saya buat tidak berasas, menipu. Sedangkan saya langsung tidak diberi peluang untuk mempertahankan diri dengan memberi keterangan serta bukti-bukti di Mahkamah jika ia tidak dibicarakan.

Adakah ini Adil? Anda fikirlah sendiri..

Walaubagaimanapun, Saya berkeyakinan penuh pada mahkamah dan saya percaya bahawa hari perbicaraan penuh untuk saya memberi keterangan tetap akan tiba tidak lama lagi. Namun, yakin sahaja tidak cukup.

Justeru, saya mohon kepada anda sekalian, tidak kira sama ada yang percaya atau tidak supaya BERDOA agar perbicaraan kes saya ini TIDAK DIGUGURKAN bagi anda sendiri mengetahui Kebenaran yang sebenar. Selagi ia dibiarkan begitu sahaja, selagi itulah ia akan menjadi satu persoalan yang tiada kesudahannya.

Diam tidak bermakna kalah, diam tidak bermakna takut, diam bermakna saya sabar dan berhati-hati dalam mengatur langkah.. Dan sabar itu adalah senjata mukmin yang paling afdal dan sangat digeruni lawan. Sudah 1 1/2 tahun saya bersabar menanti hari perbicaraan untuk tiba, jika kes ini gugurkan, haruskah saya bersabar lagi?

Alhamdulillah, banyak hikmah yang diperolehi selama 1 1/2 tahun penantian saya ini. Berkat kesabaran dan doa, sudah ramai diluar sana semakin hari semakin meragui kredebiliti tertuduh yang sehingga hari ini berdolak dalik daripada ia dibicarakan. Ini ditambah lagi dengan sokongan padu dari individu2, blogger2, forum2, media cetak dan elektronik dalam membantu saya menegakkan kebenaran ini.

Ada banyak lagi hikmah2nya, tapi saya tidak mahu sebut disini.

Untuk makluman, ramai juga diantara mereka(penyokong, rakan dan barisan pimpinan tertuduh) memberikan sokongan dan simpati dalam diam. Walaupun ada diantara mereka yang masih enggan percaya, namun mereka semua bersetuju agar kes ini dibicarakan bagi mengetahui kebenaran dan kesahihannya, bukannya lari dari perbicaraan. Terima kasih diucapkan kerana bersikap rasional dan adil.

Sudahlah bersumpah laknat pun beliau enggan, kini bicara di Mahkamah dengan dibarisi 12 Peguam handal pun beliau masih mahu berdolak dalih daripada ia dibicarakan.

Selagi hayat dikandung badan, selagi itu saya akan terus istiqamah dan berjuang habis-habisan demi menegakkan kebenaran. Saya tidak bergantung pada sesiapa, hanya pada Allah swt tempat saya bergantung.

Sama-sama kita nantikan keputusan Mahkamah esok.

Kepada Allah saya berserah..



Yang HAK pasti BERDIRI, Yang BATIL pasti JATUH!

SAIFUL BUKHARI

Pautan:

p/s: Maaf lama tidak kemaskini(update) blog ini. Untuk mengikuti perkembangan dan berinteraksi dengan saya dengan lebih dekat lagi, boleh add saya di www.facebook.com/saifulbukhari

    Friday, November 6, 2009

    Mahkamah Tolak Permohonan Tertuduh. Alhamdulillah..



    *Ulasan saya dibawah*

    KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Mahkamah Rayuan Jumaat menolak permohonan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan dokumen penting dan sampel DNA yang didakwanya amat penting untuk pembelaannya dalam perbicaraan bagi pertuduhan liwat yang dihadapinya.

    Mahkamah Rayuan menolak rayuan balas Anwar terhadap perintah Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mendapatkan sampel spesimen daripada pengadu dalam kes liwat itu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

    Bagaimanapun, Hakim Datuk Hasan Lah, yang mengetuai panel dianggotai Hakim Datuk Wira Abu Samah Nordin dan Hakim Datuk Sulaiman Daud, dalam keputusan sebulat suara membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap perintah Mahkamah Tinggi yang sama bagi pihak pendakwaan membekalkan dokumen penting kepada Anwar.

    Antara dokumen penting itu ialah kenyataan yang direkodkan daripada saksi iaitu Mohd Saiful, Dr Osman Abdul Hamid dari Hospital Pusrawi, pemilik kondominium Hassanuddin Abdul Hamid, kenyataan tiga doktor Hospital Kuala Lumpur, nota ahli kimia dan laporan perubatan.

    Dalam keputusannya, Hakim Hasan berkata dokumen yang diminta Anwar tidak termasuk dalam ketetapan Seksyen 51A Kanun Acara Jenayah kerana terdapat batasan bagi pihak pendakwaan untuk membekalkan dokumen tertentu kepada tertuduh.

    Hakim Hasan berkata mahkamah tidak bersetuju dengan tafsiran Hakim Mahkamah Tinggi terhadap Seksyen 51 kanun itu. Seksyen 51 bermakna pihak pendakwaan perlu menimbangkan arahan untuk membekalkan dokumen atau benda lain, seperti diminta oleh tertuduh.

    "Dalam prosiding jenayah, mahkamah tidak membenarkan sebarang cubaan bagi mendapatkan siasatan," katanya ketika menyampaikan keputusan itu secara lisan dan menurutnya penghakiman penuh secara bertulis akan diberikan tidak lama lagi.

    Seksyen 51A memperuntukkan ketetapan bagi pembekalan dokumen tertentu oleh pihak pendakwaan kepada tertuduh sebelum bermulanya perbicaraan bagi membolehkan tertuduh menyediakan pembelaan.

    Pada 16 Julai, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membenarkan permohonan Anwar untuk memaksa pihak pendakwaan membekalkan dokumen bagi membolehkannya menyediakan pembelaannya, mengikut Seksyen 51A supaya proses pendakwaan lebih terbuka dan adil.

    Bagaimanapun, Anwar gagal mendapatkan sampel spesimen Mohd Saiful selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonannya. Mahkamah pada 24 Julai membenarkan permohonan pihak pendakwaan bagi penangguhan pelaksanaan perintah itu, sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan diputuskan.

    Anwar, 62, dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful, 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun, tahun lepas.

    Kemudiannya, peguam yang mewakili Anwar, Karpal Singh memberitahu pemberita yang beliau akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan pada Isnin kerana keputusan hari ini akan menjadi duluan dalam kes jenayah mengikut Seksyen 51A bagi membolehkan tertuduh dibicarakan secara adil.

    Karpal berkata matlamat Parlimen dalam meminda Seksyen 51A pada 2006 ialah untuk mencegah perbicaraan diadakan secara "serang hendap" dan kelewatan selepas dokumen dibekalkan kepada tertuduh bagi menyediakan pembelaan.

    Anwar, yang tidak hadir di mahkamah, turut diwakili R.Sivarasa dan S.N.Nair, manakala Peguam Cara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden mengetuai pasukan pendakwaan yang terdiri daripada Noorin Badarudin, C.K.Wong dan Shamsul Sulaiman.

    Kes liwat itu ditetapkan untuk sebutan semula di Mahkamah Tinggi pada 23 Nov. Perbicaraan kes itu yang ditetapkan pada 1 Julai hingga 23 Julai telah ditangguhkan bagi membolehkan mahkamah mendengar beberapa permohonan yang difailkan oleh Anwar berhubung kes itu.

    -- BERNAMA

    --------------------------------------------------------

    [Ulasan Saya] Alhamdulillah, saya menerima baik keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Rayuan. Walaubagaimanapun, saya percaya bahawa pihak peguam tertuduh ada menyatakan untuk membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan.Saya amat berharap bahawa prosiding itu nanti tidak akan mengambil masa yg lama untuk diputuskan.

    Saya berkeyakinan penuh pada mahkamah dan saya percaya bahawa hari perbicaran penuh untuk saya memberi keterangan tetap akan tiba tidak lama lagi walaupun terdapat pelbagai permohonan yang difailkan oleh pihak tertuduh yang terpaksa diputuskan hingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan.

    Terus istiqamah dan bersabar, kepada Allah saya berserah...

    Yang HAK pasti BERDIRI, Yang BATIL pasti JATUH!

    SAIFUL BUKHARI

    Tuesday, November 3, 2009

    Mahkamah: Saya hadir dan bersedia, Tertuduh minta TANGGUH lagi



    (Foto by Bro Freddy)


    Hadir di Kompleks Mahkamah Jln Duta (foto, Utusan)


    Tertuduh tidak sangka saya akan hadir (foto, Utusan)

    Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

    Hari ini, buat pertama kalinya, saya memberanikan diri hadir ke Mahkamah bagi melihat sendiri perkembangan kes saya.

    Namun, malangnya, disebabkan dolak dalih tertuduh, kes ditangguhkan lagi ke 23hb Nov dimana Mahkamah menetapkan pendengaran semula permohonan tertuduh untuk GUGURkan kes sebelum bicara, yang sepatutnya didengar hari ini.

    Terus terang, saya amat kecewa dengan dolak dalih tertuduh untuk melengahkan perbicaraan ini lagi.

    Walaubagaimanapun, saya redha dan saya akan terus berusaha dan bersabar. Ia tidak sesekali melemahkan semangat dan saya tidak akan menyerah kalah.

    Disini, saya ingin maklumkan pada anda semua bahawa saya sudah lama bersedia untuk beri keterangan, pada bila-bila masa, walaupun jika mahkamah menetapkan perbicaraan dimulakan pada esok hari, saya sudah bersedia.

    Saya mohon agar pihak yang terlibat didalam kes saya ini dapat mempercepatkan prosiding agar saya dapat memberi keterangan secepat mungkin tanpa perlu menunggu lebih lama lagi.

    Sudah hampir satu setengah tahun saya, tunang tersayang dan seluruh keluarga bersabar menunggu hari perbicaraan sebenar untuk kebenaran ditegakkan.

    Saya yakin bahawa masyarakat, tidak kira samaada yang percaya atau tidak, sudah lama menunggu untuk perbicaraan sebenar dimulakan dan di adili.

    Perbicaraan utama adalah platfom yang adil dan terbaik untuk mana-mana pihak mencabar apa jua bukti dan keterangan yang akan saya berikan.

    Akhir kalam, saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak yang telah banyak memberi sokongan moral pada saya, termasuk rakan-rakan bloggers, forum dan rakan-rakan di laman-laman sosial seperti Facebook.

    Kepada Allah saya berserah..


    Yang HAK pasti BERDIRI, Yang BATIL pasti JATUH!

    SAFUL BUKHARI 

    Pautan