Thursday, May 2, 2013

Sumpah Laknat di Baitullah, Mekah. 9hb April 2012



Pada April 2012,  setelah beberapa bulan keputusan Kes Liwat saya di Mahkamah Tinggi, saya telah diberi kesempatan oleh Allah SWT ke Tanah Suci menunaikan Umrah bersama Arwah nenek. Alhamdulillah, semasa disana, saya peroleh semula kekuatan dan ketenangan. Maklumlah, pada Januari 2012, selepas keputusan kes saya diputuskan, saya berasa amat lemah dan tertekan.

Beberapa hari sebelum saya pulang, selepas Zohor, saya melakukan tawaf sunat, Solat Taubat dan Istiharah, saya mohon pada Allah petunjuk mengapa saya dijemput lagi untuk ke Tanah Suci?, sedangkan saya baru sahaja menunaikan Haji bersama Arwah Nenek pada November 2010.

Selepas sahaja Solat Fardhu Zohor, hati saya begitu terpanggil untuk melepaskan segala luka dan perit didalam hati saya, dengan melafazkan sumpah di hadapan Baitullah. Saya pun terus ke Kawasan Multazam(Pintu Kaabah), lalu melafazkan dan merakamnya sendiri.

Terus terang, selepas saya melafazkan Sumpah Laknat tersebut, secara tiba-tiba saya rasa seperti hilang segala rasa tekanan dan beban yang sedang dipikul. Saya benar-benar rasa puas dan peroleh keyakinan dan keberanian. Pada hemat saya, setelah keputusan kes saya diputuskan sebegitu rupa, hanya kepada Allah SWT sahaja tempat yang tepat untuk memohon pertolongan dan berserah, tiada siapa yang dapat bantu saya, sudah hilang segalanya.

Semasa itu, saya pun tidak pasti mengapa saya digerakkan Allah untuk berbuat demikian.

Berikut adalah rakaman sumpah laknat, bertarikh 9hb April 2012 yang saya rakam sendiri melalui telefon bimbit saya.



Menyingkap Kembali

Ingin saya tegaskan bahawa idea Sumpah Laknat/Mubahalah pertama yang saya lakukan pada 2008  bermubahalah ini bukan datang dari pihak saya, ia disarankan sendiri oleh bekas Mufti Perlis Dr Asri beberapa hari selepas saya membuat laporan polis dan ia disokong oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Boleh rujuk disini, http://jasindaily.blogspot.com/2008/07/sumpah-dengan-junjung-al-quran-untuk.html

Jadi selepas mendengar saranan tersebut, pada 7 July 2008, saya telah mempelawa beliau(DS Anwar) untuk bermubahalah. Namun setelah pelbagai dolak-dalih diberi untuk tidak melakukannya, jadi saya terpaksa melakukannya sendiri demi untuk mempertahankan   kebenaran.

Untuk makluman, Rakaman sumpah laknat ini adalah untuk rekod peribadi,  namun saya percaya persoalan pada semua adalah mengapa baru sekarang saya siarkan rakaman sumpah laknat di hadapan Kaabah ini? Ini adalah berkenaan maruah dan nama baik saya dan seluruh ahli keluarga. Secara Jujur, saya amat tertekan setelah bapa saya membuat tuduhan yang tidak benar, memohon maaf pada DSAI  pada 8hb Mac 2013 yang lepas.

Walaupun tidak pernah terlintas untuk mendedahkan rakaman ini sebelum ini, namun semalam, apabila bapa saya menarik semula tuduhan beliau, saya percaya ia boleh mengelirukan semua dan menimbulkan banyak persoalan. Oleh demikian, saya mengambil keputusan untuk menyiarkan rakaman sumpah laknat ini bagi membuktikan kebenaran kata-kata saya bahawa saya dengan sebenar-benarnya telah diliwat oleh DSAI dan sekaligus membersihkan nama saya dan keluarga dari apa jua tohmahan yang tidak sepatutnya.

Sumpah Laknat saya dihadapan Kaabah ini adalah benteng perjuangan terkuat dalam perjuangan sebagai seorang Muslim dalam episod saya menegakkan kebenaran. Telah 5 tahun saya Istiqamah dan Sabar. Pelbagai pahit manis telah saya lalui, juga banyak permata yang telah saya kutip.

Saya ingin menyatakan sebagai seorang Muslim, Saya yakin lafaz sumpah dihadapan Baitullah ini bukanlah sesuatu yang boleh dipermainkan dan dalam sejarah Islam pun perkara-perkara begini adalah sangat serius. Dan dari segi nasihat yang saya terima dari Ulama pun amat lah besar kesan dan akibatnya jika ia satu dusta.

Untuk makluman semua, Saya telah dua kali bersumpah laknat termasuk dihadapan Baitullah didalam kawasan Multazam(Pintu Kaabah) namun DSAI masih lagi enggan bersumpah laknat untuk menafikan bahawa beliau tidak pernah meliwat saya, sehinggakan ketika prosiding membela diri di Mahkamah juga beliau enggan memberi keterangan secara bersumpah.

Saya percaya yang DSAI tidak akan berani bersumpah walau dihadapan siapa atau dimana sekalipun. DSAI akan terus berdolak-dalik dengan penafian kosong semata-mata dan saya percaya beliau akan terus melarikan diri dari bersumpah laknat.

Pada hemat saya, jika ditakdirkan saya sudah tiada, sumpah laknat dihadapan Baitullah ini lah yang akan menjadi benteng dan saksi kebenaran kepada semua umat Islam yang percaya pada kekuasaan Allah S.W.T, dan juga bagi meneruskan perjuangan kebenaran ini.

Ingin saya tegaskan disini bahawa walau apa jua yang terjadi, saya akan terus sabar dan istiqamah dengan kebenaran yang saya bawa selama ini. Tidak sesekali saya akan menyerah kalah . Kepada semua, Demi Allah saya tidak berbohong didalam laporan Polis yang saya buat pada 2008.

Yang HAK pasti BERDIRI, Yang BATIL pasti JATUH!

Illahi antal maksudi waridha kamath lubi

Kepada Allah saya berserah

MOHD SAIFUL BUKHARI AZLAN
2hb Mei 2013

Friday, March 8, 2013

Terus Doa, Sabar dan Istiqamah.. Walau ke titisan darah terakhir

KENYATAAN MEDIA SAIFUL BUKHARI AZLAN

1. Saya berasa amat sedih dan dukacita dengan berita mengenai bapa saya. Saya sedih kerana bapa saya telah menjadi mangsa kerakusan politik makhluk bernama Anwar bin Ibrahim.

2. Demi Allah, Agama Bangsa dan Negara tercinta, Saya ingin tegaskan bahawa saya tidak sama sekali akan berganjak dengan dakwaan saya. Saya akan terus Istiqamah dan berpegang teguh pada dakwaan saya, segala keterangan saya di Mahkamah, juga sumpah laknat yang telah saya lafazkan, sehingga ke akhir hayat.

3. Kepada Anwar bin Ibrahim, bertaubatlah. Telah 5tahun saya bertahan, dan berdiri teguh walaupun sukar. Saya pasti Allah akan balas apa yang saudara lakukan. Sungguh terdesak dan jijik sekali.

4. Saya juga memberi amaran kepada Anwar Ibrahim, walaupun terdesak, jangan membabitkan bapa saya untuk memutarbelitkan keadaan dalam mencapai matlamat beliau.

4. Saya percaya isu ini sengaja ditimbulkan bagi mengalih perhatian isu "pengkhianat negara" yang sedang beliau hadapi.

5. Walau apapun berlaku, saya yakin KEPADA ALLAH SWT..yang benar tetap benar. Kebenaran tidak dapat dihapuskan walau apa sekalipun.

6. Saya akan terus berdoa agar Allah bukakan hati bapa saya untuk kembali pada jalan Allah, kebenaran, pertahankan anak kandungnya yg menjadi mangsa.

7. Sebagai seorang anak, kasih sayang dan hormat kepada seorang ayah akan kekal hingga ke akhir hayat.

8. Kepada seluruh rakyat Malaysia, saya menyeru agar tidak terpedaya dengan permainan jijik Anwar Ibrahim ini.

9. Kedaulatan Negara kini sedang diancam musuh, ditambah pengkhianat musuh dalam selimut membantu, sudah ramai perwira kita yang telah terkorban, marilah sama-sama kita doa dan pertahankan.


Akan terus Doa, Istiqamah dan Sabar


(MOHD SAIFUL BUKHARI BIN AZLAN)