Terus kehadapan, tidak sesekali undur..
Alhamdulillah, syukur kehadirat Allah SWT kerana dengan Izin, Limpah dan RahmatNya, saya telah dipanjangkan umur sehingga ke hari ini. Hari ini, genaplah 26 tahun saya berada di bumi Allah. Saya dilahirkan oleh ibu saya Allahyarhamah Hjh Halina Mohd Alip, di Johor Bharu.
Kenangan yang paling manis sepanjang saya berumur 25 tahun adalah apabila saya di Izinkan Allah SWT untuk mengerjakan Ibadah Haji bersama Nenek tersayang pada musim Haji yang lalu. Pelbagai ilmu dan pengalaman berharga saya perolehi sepanjang berada disana. (Boleh baca lebih lanjut
disini) . Kedua ialah dimana apabila Mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwaan Berjaya membuktikan adanya kes Prima Facie dimana pihak tertuduh diarah untuk membela diri.
Untuk makluman semua, baru-baru ini juga, pada tanggal 28 Jun 2011, genaplah 3 tahun tempoh dari tarikh laporan polis yang dibuat iaitu pada tanggal 28 Jun 2008 di Hospital Kuala Lumpur.
Syukur Alhamdulillah, Allah telah memakbulkan beberapa doa, memberi saya pertolongan, taufiq dan hidayah untuk mengharunginya dengan penuh tenang, sabar serta penuh hikmah. Kisah perjalanan, perjuangan dan kesabaran Rasulullah SAW dalam menegakkan yang HAK juga sentiasa dijadikan panduan dan pedoman.
Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya tidak pernah sekali menyesal akan keputusan saya pada tanggal 28hb Jun 2008 lalu. "Pada hemat saya, biarlah diri ini dihina oleh jutaan manusia dan hilang segala nikmat dunia ini daripada dihina Allah swt, hidup dalam jiwa yang tidak tenang dan ditarik nikmat di akhirat akibat tidak berani menegakkan yang Hak"
Akhir kalam, saya ingin mengucapkan jutaan penghargaan dan terima kasih diatas ribuan ucapan Selamat Hari Lahir di Facebook, email, sms, twitter dan lain-lain. Juga pada seluruh keluarga dan semua pihak yang telah banyak berdoa, memberi sokongan dan membantu secara langsung atau tidak langsung sepanjang 3 tahun kes ini berlangsung. Saya amat menghargai jasa-jasa anda sekalian, saya tidak akan lupa.
Insyaallah, segala pengorbanan dan penat lelah anda selama ini tidak akan sesekali saya sia-siakan. Semoga Allah memberi kekuatan dan membalas jasa-jasa anda sekalian.
Saya tidak mempunyai apa-apa, hanya Allah swt tempat saya bergantung. Jika ditakdirkan saya tiada didunia ini lagi, teruskanlah perjuangan ini sehingga Kebenaran itu bangkit!. Apapun, saya akan terus berdoa, istiqamah dan sabar, takkan sesekali akan menyerah kalah.
Saya percaya, setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Allah Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa.
Kepada Allah saya berserah
SAIFUL BUKHARI AZLAN
p/s: Buat rakan-rakan seperjuangan yang dihormati dan dikasihi, Hari Kebenaran semakin hampir. Sudah banyak tanda-tanda yang telah diperlihatkanNya. Ayuh sama-sama kita rapatkan saf, istiqamah, kuatkan dalaman/iman, doa dan jangan putus mohon bantuan dari Allah SWT. Insyaallah, dengan IzinNya nanti, apabila
Yang HAK sudah BERDIRI, Yang BATIL pasti JATUH!!