Wednesday, December 14, 2016

BERKAT DOA, ISTIQAMAH, SABAR SELAMA 8 TAHUN


Bermunajat di Puncak Jabal Nur, Gua Hira''. Musim Haji 1431H/2010


Berkat doa, istiqamah dan sabar selama 8 tahun, pada hari ini, Mahkamah Persekutuan sekali lagi sebulat suara memutuskan bahawa dakwaan saya selama ini benar.

Saya dan keluarga menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan, hari ini.

Sebagai pengadu, saya  berharap dan mendoakan, perjalanan melalui proses mahkamah ini sudah sampai ke penghujungnya.

Walaupun realitinya, saya tahu ia bukanlah titik noktah bagi sesetengah pihak yang sentiasa menjadikan aduan saya sebagai modal politik mereka. Ia jelas di mana sejak akhir-akhir ini, gerakan dan kempen untuk membebaskan Anwar Ibrahim terus giat dijalankan.

Yang menyedihkan saya, ada pihak, serta beberapa tokoh yang selama ini saya sanjung, turut sama-sama berkempen untuk membebaskan beliau.

Mereka ini seakan tidak menghiraukan nasib dan perasaan saya selaku pengadu/mangsa yang menuntut keadilan dalam kes ini.

Ternyata pada mereka ini, kuasa dan survival politik lebih penting daripada keadilan seorang insan kerdil.

Apapun, saya anggap dan menerimanya  sebagai ujian dari Allah SWT buat diri saya agar saya terus Istiqamah, Sabar dan Tabah walau apa jua keadaan yang berlaku.

Sebagai hamba Allah SWT yang tidak sempurna ini, saya telah menjalankan tanggungjawab, menegakkan kebenaran agar saya tidak disoal di akhirat nanti.

Yang pasti, apa yang penting kini, saya dan keluarga ke hadapan.. Saya berdoa semoga Allah SWT terus memberi perlindungan, rezeki dan kemudahan dalam segala urusan saya.

Terima kasih kepada semua pihak yang telah bersama saya secara langsung atau tidak langsung selama ni. Allah sahaja mampu membalasnya.

Illahi Antal Maksudi Wa Ridhoka Mathlubi


SAIFUL BUKHARI AZLAN

Tuesday, March 15, 2016

Istiqamah dengan Kebenaran

ISTIQAMAH DENGAN KEBENARAN

Baru-baru ini, saya dihubungi oleh beberapa individu untuk berjumpa. Atas dasar silaturahim sesama manusia, saya pun sudi untuk berjumpa. Lagipun saya kenal mereka ini.

Semasa perjumpaan itu, mereka menyampaikan hajat dan menjemput saya bersama-sama mereka menyertai gerakan "Deklarasi Rakyat" bagi menjatuhkan pemimpin berkenaan.

Selepas 30minit mereka kemukakan hujah-hujah mereka, serta beberapa tawaran, lalu saya pun beri maklum balas.

Izinkan saya berkongsi disini, apa yang saya jawab pada mereka. Bukan apa, saya malas nak jawab berulang kali, sebab ada juga pihak lain selepas itu menghubungi, menjemput melakukan perkara yang sama.

Sebelum itu, ingin saya tegaskan bahawa apa yang hendak saya kongsi ini tiada kaitan dengan politik. Pun begitu, ia ada melibatkan kes peribadi saya dengan Anwar Ibrahim. Justeru saya ada hak/"locus standi" untuk berbuat demikian.

Demikian adalah jawapan saya:

Tujuan utama deklarasi ini adalah untuk menjatuhkan pemimpin tertentu. Pada hemat saya, ini adalah isu politik, saya tidak berminat, dan saya tidak ada hak untuk masuk campur.

Saya sedia maklum bahawa tiada klausa dalam deklarasi tersebut terkandung agenda membebaskan Anwar. Penaung deklarasi ini juga dengan tegasnya menyatakan bahawa deklarasi ini tidak ada kena mengena dengan "Bebas Anwar".

Namun, kita juga sedia maklum bahawa rata-rata 90% daripada mereka yang menandatangani dan menyokong deklarasi, berhasrat mengunakan ia sebagai platfom untuk membebaskan Anwar. Mereka mendesak agar agenda pembebasan Anwar berjalan seiring "Deklarasi Rakyat".

Buktinya sangat jelas kerana ia telah diperakui sendiri oleh Dr Wan Azizah http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/03/07/setuju-atau-tidak-bebas-anwar-kini-agenda-utama-selamatkan-malaysia/

90% adalah peratusan yang amat tinggi, pada hemat saya mana mungkin kumpulan 10% ini dapat mengatasi kumpulan 90% melainkan mereka ini amat luar biasa kuasanya. Jika dibuat undian, sudah pasti kalah.

Justeru, sepertimana yang diperakui Dr Wan Azizah, maka saya juga simpulkan bahawa :

Sokong Deklarasi Rakyat= Sokong Bebas Anwar

Jadi wajarkah saya sokong gerakan tersebut? Gerakan yang mana majoriti ahlinya mahu Anwar dibebaskan? Jika saya sokong, maka secara tidak langsung saya akan dilabel sebagai pembohong, melakukan penipuan di Mahkamah dan lebih besar lagi iaitu melanggar sumpah laknat saya yang telah saya lafazkan di Masjid Wilayah dan Masjidil Haram. Justeru, tidak sesekali saya akan berbuat demikian.

Akhir kata, buat mereka-mereka yang bakal tanya saya lagi, diharap penjelasan saya ini JELAS.

Semoga Allah terus beri kekuatan dan sentiasa dibawah lindungan-Nya. 

Akan Terus Istiqamah

SAIFUL BUKHARI AZLAN

Wednesday, February 10, 2016

SETAHUN BERLALU

Mereka terus ditipu

KENYATAAN AKHBAR SAIFUL BUKHARI AZLAN. 10HB FEB 2016 

Assalammualaikum & Salam Sejahtera,

Hari ini genap setahun perbicaraan kes saya berakhir. 

Izinkan saya ulas beberapa perkara.

Dalam masa setahun ini, saya ambil maklum dengan gerakan/kempen oleh keluarga, penyokong dan pihak-pihak tertentu untuk membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara. Namun saya mengambil pendekatan untuk tidak memberi reaksi, saya biarkan sahaja.

Saman fitnah dan tuntutan sebanyak RM50 juta yang difailkan beberapa tahun lalu pun saya hentikan. Selain atas faktor kos guaman, saya mengambil kira
faktor kemanusiaan. Kerana pada hemat saya, sudah cukup buat saya apabila aduan saya telah diadili sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan dan beliau pun telah dijatuhi hukuman. Saya mahu terus ke hadapan, tutup buku.

Namun, hari demi hari, saya lihat mereka ini semakin keterlaluan. Mereka bebas mengelirukan dan melakukan penipuan terhadap fakta kes saya. Antara penipuan dan 'spin' yang mereka lakukan adalah seperti "Tuduhan Palsu", "Tahanan Politik", perbicaraan berat sebelah, tidak dapat membela diri dan sebagainya.

Penipuan yang dilakukan ini bukan sahaja pada rakyat Malaysia, malah pada dunia. Amat malang lagi, tanpa rasa bersalah atau malu, penipuan ini disalurkan pada Negara-Kerajaan di luar negara, Individu-Individu Berpengaruh, Badan-Badan Dunia sehingga ada mereka mempercayainya dan mengambil beberapa tindakan seperti memberi "Derma Jutaan Dollar" untuk kempen pembebasan AI, juga tekanan pada Kerajaan untuk membebaskan beliau.

Justeru, ingin saya nasihatkan kepada pihak-pihak yang berkenaan, hentikanlah penipuan ini. Cukup-cukuplah berdusta. Dari tahun 1998 hingga kini, tak habis-habis lagi. Jika tidak takut pada manusia, takut lah pada Allah SWT. Kasihanilah pada mereka yang kamu tipu itu.

Pada pihak-pihak diluar yang mempercayai, terutama pada Negara-Negara dan Badan-Badan Antarabangsa, ingin saya maklumkan disini bahawa beliau bukan "Tahanan Politik", sebaliknya adalah "Tahanan JENAYAH". Tidak ada kena juga mengena dengan penindasan Demokrasi. Juga, hentikanlah memberi dana dan sokongan, kerana ia dusta belaka.

Beliau telah didakwa atas kesalahan jenayah, dibicara dan di adili oleh sejumlah 9 orang Hakim ( 1- Mahkamah Tinggi, 3 - Rayuan, 5 - Persekutuan) ,  di mana perbicaraan telah mengambil masa yang lama, lebih kurang 7 tahun.

Saya juga ambil maklum bahawa rata-rata mereka ini beri tekanan dari sudut "Human Rights". Namun bagaimana pula dengan saya? Saya adalah pengadu dan mangsa dalam kes ini. Adakah saya ini bukan "human"/manusia sehingga dinafikan hak sebagai mangsa secara total oleh Badan-Badan "Human Rights"?

Pada hemat saya, agaknya realiti dunia sekarang sudah terbalik. Manusia akan membela individu yang berkepentingan kepada mereka, berkuasa, berpengaruh,  berduit kaya raya. Dan bukannya org kecil seperti saya ini,  tak kaya, tak ada kuasa, tidak ada kepentingan. Adakah ini yang ingin dibudayakan?

Apapun syukur selama ini saya ada Allah SWT. Dialah tempat saya berdoa, bergantung dan memohon bantuan.

8 tahun dulu, dari mula saya membuat laporan Polis hinggalah ke saat ini, apa yang saya mahukan sebagai pengadu adalah aduan saya sepertimana dalam laporan polis mengenai perlakuan Anwar Ibrahim terhadap saya disiasat dan diadili, tidak lebih dari itu. Tidak sesekali saya berasa kesal. 

Kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, setahun sudah berlalu. Semoga sihat dan tenang disana. Gunakanlah tempoh muhasabah ini sebaik-baiknya. Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Pengampun bagi hambanya yang benar-benar insaf. Sebagai bekas majikan, saya doakan yang terbaik.

Terus kehadapan, istiqamah dan sabar.

SAIFUL BUKHARI AZLAN
10hb FEB 2016