Tuesday, November 1, 2011

Akaun Facebook Palsu

Untuk makluman, Fanpage "Saiful Bukhari" Bukhari"
http://www.facebook.com/pages/Saiful-Bukhari-Bin-Azlan/167321936640909 ini adalah PALSU.

Saya kesal diatas tindakan terdesak pihak-pihak tertentu menyamar sebagai diri saya dan cuba memberi imej yang negatif melalui ulasan-ulasan tertentu yang kononnya datang dari saya. Tindakan sewajarnya sedang diambil.

Terima kasih diatas maklumat rakan-rakan.

SAIFUL BUKHARI AZLAN




p/s: Hanya akaun Facebook ini sahaja yang sah  www.facebook.com/saifulbukhari

Wednesday, August 17, 2011

Setelah 3 tahun melafazkan Sumpah Laknat

Bermunajat pada Allah di puncak Jabal Nur, Gua Hira'.
 Musim Haji yang lepas, November 2010. Cahaya dihujung, Masjidil Haram

Assalammualaikum dan Salam Hormat buat semua

Kelmarin, pada tanggal 15hb Ogos 2011, genaplah tiga tahun saya melafazkan sumpah laknat di Masjid Wilayah Persekutuan. Semalam, saya kembali semula ziarah masjid yang penuh bersejarah buat diri saya ini.

Saya merasa amat terharu apabila pulang semula ke masjid ini. Peristiwa yang penuh bersejarah itu masih segar dalam ingatan saya. Pelbagai kisah yang berlaku sebelum, semasa dan selepas 3 tahun saya melafazkan sumpah laknat tersebut. Ada diantaranya diketahui umum, ada juga yang tidak pernah saya kongsikan. Justeru, izinkan saya berkongsi sedikit sebanyak kisah-kisah tersebut.

Sebelum

Pada awalnya, ia sepatutnya diadakan dengan kehadiran kedua-dua pihak, iaitu saya dan juga yang dituduh pada ketika itu, DS Anwar Ibrahim. Namun setelah dipelawa dan sering berdolak-dalih untuk berminggu-minggu lamanya, saya dan setelah mendapat persetujuan keluarga, memutuskan untuk melafazkan sumpah tersebut bersendirian, iaitu sumpah laknat.

Untuk makluman, walaupun saya sendiri dengan rela hati untuk melafazkannya, tindakan saya ini tercetus apabila ia disarankan oleh bekas Mufti Perlis Dr Asri pada dan disokong oleh Tuan Guru Nik Aziz pada awal Julai 2008. Boleh rujuk artikel ini

Justeru, selepas berfikir, berbincang dengan keluarga dan beberapa ahli agama,  pada 7 Julai 2008, saya telah mempelawa beliau(DS Anwar) untuk bermubahalah. Namun beliau tidak membuat apa tindakan untuk bermubahalah.

Selepas sumpah

Selepas saya melafazkan sumpah tersebut, ia telah menimbulkan pelbagai kontroversi, kecaman, kutukan, fitnah, penipuan dan cacian oleh beberapa pihak. Sebagai contoh saya telah ditohmah sakit tenat, membuang air besar mengunakan tiub dan sebagainya. Walaubagaimanapun, dakwaan tersebut ternyata sekali adalah tidak benar. Akhirnya, setelah 2 tahun, pihak yang memfitnah saya itu sudah pun memohon maaf secara terbuka. Boleh rujuk disini

Bagaimana atasi cabaran

Dari awal hingga ke hari ini, saya tidak pernah putus mohon bantuan dari Allah. Saya buang sifat 'AKU' dalam diri kerana saya memang tidak mempunyai apa-apa daya dan kekuatan, semuanya datang dari Allah SWT. Hanya Allah tempat saya berserah dan tempat saya bergantung. Saya sentiasa berdoa, istiqamah dan sabar.

Selain itu, saya berpegang pada prinsip " Biarlah diri ini dihina oleh Jutaan manusia, hilang segala nikmat dunia, daripada  ditarik nikmat di akhirat dan dihina oleh Allah SWT, kerana tidak berani berkorban menegakkan Yang HAK"

Perjuangan dan kisah Rasulullah SAW juga sentiasa saya jadikan panduan dan iktibar dalam menempuhi apa jua rintangan dan halangan dalam perjuangan menegakkan yang HAK.

Tidak dinafikan, memang banyak cabaran dan rintangan, namun saya bersyukur kerana saya dapat menghadapinya dengan tenang dan banyak bantuan dari Allah yang saya terima. Alhamdulillah...

Prosiding Mahkamah

Walaupun proses prosiding berjalan agak perlahan atas sebab-sebab tertentu, saya berkeyakinan penuh terhadap sistem perundangan kita. Di peringkat ini, Saya bersyukur kerana saya telah memberi keterangan dan kes dipihak pendakwaan telah selesai dan kini adalah kes diperingkat pembelaan. Lebih pada itu saya redha dan serah pada Allah.

Ternyata, ada hikmah disebalik kelewatan dan penangguhan ini. Banyak permata yang saya kutip sepanjang perjalanan selama 3 tahun ini. Antaranya, ia mendidik saya tentang ilmu sabar. Hatta, ia telah menjadikan saya seorang yang lebih kental dan berkeyakinan untuk tempuhi apa jua rintangan dan cabaran dimasa akan datang. Insyaallah..

Kenangan manis sepanjang 3 tahun

Antara kenangan manis yang saya perolehi setelah 3 tahun ini; Pertama, Pertolongan dan bantuan dari pelbagai pihak yang berdoa dan benar-benar ikhlas membela saya, sebagai contoh para blogger yang dari awal hingga kini masih istiqamah membela saya. Mereka melakukan ini dengan penuh ikhlas, tanpa meminta balasan. Begitu juga dengan dengan rakan-rakan dialam maya yang lain seperti di Facebook, Twitter, Forum-Forum online yang lain. Kedua, saya telah selesai memberi keterangan dan dibebaskan sebagai saksi. Ketiga,  Berkesempatan mengiringi nenek mengerjakan ibadah Haji pada November 2010. Boleh rujuk disini . Keempat, saya rasa bersyukur kerana keluarga dan pelbagai pihak terus mendoakan dan memberi sokongan, serta boleh menerima diri saya seadanya walaupun aib dan maruah sudah hancur berkecai.

Akhir kalam, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih pada semua yang terus mendoakan, membela dan membantu saya selama ini. Doa untuk kalian semua tidak pernah saya lupakan, hanya Allah SWT yang dapat membalas segala budi dan jasa anda sekalian.

Insyaallah, dibulan yang mulia ini, kebenaran akan bangkit. Sama-sama kita doakan.

Akan terus berdoa, istiqamah dan sabar

Kepada Allah saya berserah


SAIFUL BUKHARI AZLAN


p/s: Terima kasih  pada pihak TV3, khasnya buat Unit Berita & Hal Ehwal Semasa kerana sudi menemurah dan memberi ruangan Ekslusif untuk saya di Buletin Utama semalam dan hari ini.Penghargaan juga buat akhbar Utusan Melayu yang sudi menemuramah saya.  



Wednesday, July 13, 2011

KENYATAAN MEDIA BAPA MENGENAI TARIKH BICARA KES PEMBELAAN

KENYATAAN MEDIA 

Saya Azlan bin Mohn Lazim bapa kepada Mohd Saiful Bukhari Azlan, pengadu didalam kes liwat yang membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersyukur dan menerima baik keputusan Mahkamah Tinggi pada pagi tadi yang telah menetapkan supaya tarikh sambung bicara ditetapkan pada 8hb hingga 26hb Ogos 2011 bagi perbicaraan kes diperingkat pembelaan, iaitu genap 3 tahun selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipertuduhkan pada 7hb Ogos 2008.

Walaupun setelah 3 tahun, saya dan keluarga tetap bersabar dan saya amat berbesar hati dan berharap daripada ini, prosiding kes diperingkat pembelaan dapat diteruskan dan dapat dijalankan dengan lancar tanpa adanya apa-apa perkara yang mempunyai implikasi penangguhan ke atas prosiding perbicaraan tersebut.

Saya sentiasa bersabar, berdoa agar kebenaran dapat ditegakkan dan semoga pengaduan anak saya dapat diadili tanpa mengambil tempoh masa yang panjang.

Bertarikh pada 13hb Julai 2001

AZLAN MOHD LAZIM

Wednesday, July 6, 2011

Sudah 26 tahun. Syukur, Allah lanjutkan umur..

Terus kehadapan, tidak sesekali undur..

Alhamdulillah, syukur kehadirat Allah SWT kerana dengan Izin, Limpah dan RahmatNya, saya telah dipanjangkan umur sehingga ke hari ini. Hari ini, genaplah 26 tahun saya berada di bumi Allah. Saya dilahirkan oleh ibu saya Allahyarhamah Hjh Halina Mohd Alip, di Johor Bharu.

Kenangan yang paling manis sepanjang saya berumur 25 tahun adalah apabila saya di Izinkan Allah SWT untuk mengerjakan Ibadah Haji  bersama Nenek tersayang pada musim Haji yang lalu. Pelbagai ilmu dan pengalaman berharga saya perolehi sepanjang berada disana. (Boleh baca lebih lanjut disini) . Kedua ialah dimana apabila Mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwaan Berjaya membuktikan adanya kes Prima Facie dimana pihak tertuduh diarah untuk membela diri.

Untuk makluman semua, baru-baru ini juga, pada tanggal 28 Jun 2011, genaplah 3 tahun tempoh dari tarikh laporan polis yang dibuat iaitu pada tanggal 28 Jun 2008 di Hospital Kuala Lumpur.

Syukur Alhamdulillah, Allah telah memakbulkan beberapa doa, memberi saya pertolongan, taufiq dan hidayah untuk mengharunginya dengan penuh tenang, sabar serta penuh hikmah. Kisah perjalanan, perjuangan dan kesabaran Rasulullah SAW dalam menegakkan yang HAK juga sentiasa dijadikan panduan dan pedoman.

Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya tidak pernah sekali menyesal akan keputusan saya pada tanggal 28hb Jun 2008 lalu. "Pada hemat saya, biarlah diri ini dihina oleh jutaan manusia dan hilang segala nikmat dunia ini daripada dihina Allah swt, hidup dalam jiwa yang tidak tenang dan ditarik nikmat di akhirat akibat tidak berani menegakkan yang Hak"

Akhir kalam, saya ingin mengucapkan jutaan penghargaan dan terima kasih diatas ribuan ucapan Selamat Hari Lahir di Facebook, email, sms, twitter dan lain-lain. Juga pada seluruh keluarga dan semua pihak yang telah banyak berdoa, memberi sokongan dan membantu secara langsung atau tidak langsung sepanjang 3 tahun kes ini berlangsung. Saya amat menghargai jasa-jasa anda sekalian, saya tidak akan lupa.

Insyaallah, segala pengorbanan dan penat lelah anda selama ini tidak akan sesekali saya sia-siakan. Semoga Allah memberi kekuatan dan membalas jasa-jasa anda sekalian.

Saya tidak mempunyai apa-apa, hanya Allah swt tempat saya bergantung. Jika ditakdirkan saya tiada didunia ini lagi, teruskanlah perjuangan ini sehingga Kebenaran itu bangkit!. Apapun, saya akan terus berdoa, istiqamah dan sabar, takkan sesekali akan menyerah kalah.

Saya percaya, setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Allah Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa.

Kepada Allah saya berserah


SAIFUL BUKHARI AZLAN



p/s: Buat rakan-rakan seperjuangan yang dihormati dan dikasihi, Hari Kebenaran semakin hampir. Sudah banyak tanda-tanda yang telah diperlihatkanNya. Ayuh sama-sama kita rapatkan saf, istiqamah, kuatkan dalaman/iman, doa dan jangan putus mohon bantuan dari Allah SWT. Insyaallah, dengan IzinNya nanti, apabila Yang HAK sudah BERDIRI, Yang BATIL pasti JATUH!!



KENYATAAN MEDIA BAPA MENGENAI KEPUTUSAN MAHKAMAH RAYUAN

KENYATAAN MEDIA

Saya Azlan Bin Mohd Lazim bapa kepada Mohd Saiful Bukhari Azlan, pengadu didalam kes liwat yang membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersyukur dan menerima baik keputusan Mahkamah Rayuan pada pagi tadi.

Saya akan amat berbesar hati dan berharap selepas daripada ini prosiding perbicaraan dapat diteruskan dan dapat dijalankan dengan lancar tanpa adanya apa-apa lagi permohonan yang mempunyai implikasi penangguhan keatas prosiding perbicaraan tersebut.

Sepanjang saya mengikuti perbicaraan kes tersebut, saya mendapati bahawa permohonan untuk Yang Arif Hakim menarik diri dari mendengar perbicaraan mempunyai implikasi yang besar kerana ianya akan mengakibatkan penangguhan prosiding perbicaraan tersebut.

Dalam keadaan ini setiap kali prosiding perbicaraan ditangguhkan disebabkan permohonan-permohonan yang dibuat, saya amat bersimpati ke atas nasib anak saya Mohd Saiful Bukhari Azlan didalam mencari keadilan dan kebenaran.

Saya sekali lagi mengharapkan semoga prosiding perbicaraan akan dapat berjalan dengan lancar tanpa adanya lagi permohonan-permohonan yang mempunyai implikasi penangguhan dan saya sentiasa bersabar dan berdoa semoga pengaduan anak saya dapat diadili dengan tanpa berlakunya perkara-perkara yang boleh menyebabkan penangguhan prosiding perbicaraan tersebut.

Bertarikh pada 6hb Julai 2011


(AZLAN BIN MOHD LAZIM)

Tuesday, February 1, 2011

Hikmah Sabar: Permohonan Maaf oleh Pahang Daily Online





Setelah saya melafazkan Sumpah Laknat di Masjid Wilayah pada Ogos 2008, pelbagai tohmahan dan kecaman yang dilemparkan pada saya dan keluarga. Tidak ketinggalan, spekulasi atau fitnah bahawa saya telah menderita atau dilaknat Allah SWT kerana lafaz sumpah saya kononnya adalah bohong semata-mata.

Ekoran terlalu banyak fitnah yang dilemparkan, atas nasihat keluarga dan peguam, saya telah mengambil beberapa tindakan ke atas pihak terbabit. Tindakan yang telah diambil adalah dengan membuat Laporan Polis dan memfailkan Saman ke atas portal berita Pahang Daily Online yang merupakan antara pihak yang secara agresif memfitnah saya.

Dua tahun sudah berlalu. Namun semalam, dengan kuasa Allah, saya telah dimaklumkan oleh rakan-rakan bahawa pihak Pahang Daily Online telah MEMOHON MAAF secara terbuka mengenai 6 artikel fitnah yang telah disiarkan 2 tahun lalu. Boleh baca disini

Saya telah membaca dan meliti permohonan maaf yang telah dibuat oleh pihak Pahang Daily Online, permohonan maaf tersebut dengan jelas menunjukkkan bahawa selama ini saya berkata benar dan saya TIDAK mengalami apa-apa penyakit kronik ataupun penderitaan seperti yang di fitnah.

Antara fitnah yang telah dilemparkan; saya sakit tenat, memakai tiub dibadan untuk membuang air besar, kemaluan bernanah dan banyak lagi.

Ekoran daripada permohonan maaf ini, saya berharap agar ia menjadi iktibar kepada pihak-pihak yang telah dan masih memfitnah saya di dalam medium masing-masing.

Isu berkenaan permohonan maaf ini memerlukan saya mendapatkan nasihat daripada peguam saya sebelum saya membuat apa-apa tindakan lanjut.

Kebenaran akan bangkit jua akhirnya. Saya akan terus istiqamah, berdoa dan bersabar. Di sini juga saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih pada semua pihak yang tidak putus-putus memberi sokongan dan doa pada saya dan keluarga. Semoga Allah membalas jasa-jasa anda sekalian

Perjuangan menegakkan kebenaran akan diteruskan. Tidak sesekali saya akan mengalah dan berhenti. Kepada Allah saya berserah

Yang HAK pasti BERDIRI
Yang Batil pasti JATUH

SAIFUL BUKHARI AZLAN


Pautan Media: