Wednesday, December 8, 2010

Kenangan Terindah - Haji 1431

 Malam terakhir di Masjidil Haram bersama Nenek
Berdoa berdekatan Multazam(Pintu Baitullah)
Hari pertama melontar. Baru lepas Tahalul awal (bercukur)
 
Jamrah Kubra, Hari terakhir melontar
Baru selesai Tawaf Ifadhah(Haji)
 Sebelum solat Isyak, Umrah Sunat

 Bermunajat di puncak Jabal Nur. Cahaya terang dihujung-Masjidil Haram
 Umrah Sunat terakhir. Ruang legar Imam Masjidil Haram, Rukun Yamani

Lagi gambar klik disini

Assalammualaikum

Dengan Izin dan limpah kurniaNya, saya telah selamat pulang ke tanah air beberapa hari lalu setelah berada di tanah suci selama 42 hari bagi melaksanakan Rukun Islam yang Ke-5 iaitu Ibadah Haji. Syukur Alhamdulillah!

Saya mengiringi nenek tersayang dan saudaranya. Nenek sudah berusia, memerlukan sokongan kerusi roda untuk berjalan jauh. Kami ikut pakej Muasasah Tabung Haji. Syukur Alhamdulillah, Allah SWT telah mempermudahkan segala urusan sepanjang kami disana. Dan yang paling manis, saya dan Nenek selamat menunaikan Rukun Islam yang Ke-5 dan selamat kembali ke tanah air. =)

Pelbagai ilmu dan pengalaman berharga saya perolehi sepanjang berada disana. Walaupun bukan pertama kali ke tanah suci, namun pengalaman menunaikan Haji jauh lebih mencabar dan menarik berbanding Umrah Ziarah. Suasana dan nikmatnya jauh berbeza. Akan saya kongsi, jadikan permata dan bekalan untuk masa akan datang hingga ke akhir hayat.

Ramai juga kenalan baru dikalangan jemaah yang saya perolehi. Rata-rata memberikan respon yang positif, semangat, nasihat, mendoakan saya dalam perjuangan untuk menegakkan kebenaran dan masa hadapan.

Kesempatan dan peluang berada di tanah suci saya gunakan dengan secukup-cukupnya untuk beribadah, berdoa dan memohon pada Allah SWT. Antara tempat-tempat mustajab yang saya berpeluang untuk berdoa; Wukuf di Arafah, Mina, Makam Rasulullah, Raudah, Multazam, Rukun Yamani, Gua Hira' Jabal Nur dan banyak lagi.

Antara doa yang dipohon; agar terus diberi kekuatan untuk Istiqamah dalam menegakkan kebenaran, diampuni dosa-dosa, kesejahteraan dan keselamatan keluarga, Agama, umat, bangsa dan tanah air tercinta. Juga, mohon Rakyat dibukakan Hijjab agar diperlihatkan yang HAQ dan dilenyapkan segala yang batil!

Sudah dua tahun setengah saya menanti agar Kebenaran dan Keadilan dapat ditegakkan. Walaupun ia belum lagi selesai, namun saya redha dan bersyukur dengan segala bantuan yang Allah berikan. Banyak hikmah disebalik kelewatan, penangguhan demi penangguhan. Mungkin ramai yang telah dapat lihat hikmah disebaliknya. Itulah kebesaran Allah. Dia Maha Berkuasa lagi Maha Mengetahui.

Saya tidak mempunyai apa-apa kekuatan, kuasa, pengaruh, wang untuk berjuang, hanya Allah SWT tempat saya mohon dan mengadu. Walaubagaimanapun, saya akan terus berdoa, istiqamah dan bersabar, tidak sesekali saya akan menyerah kalah! Kebenaran pasti akan bangkit jua akhirnya.

Akhir kalam, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih pada semua yang telah banyak mendoakan, membela dan membantu saya selama ini. Doakan untuk kalian semua tidak pernah saya lupakan, hanya Allah SWT yang dapat membalas segala budi dan jasa anda sekalian.

Salam Maal Hijrah!

Yang Hak Pasti Berdiri,
Yang Batil Pasti Jatuh!

SAIFUL BUKHARI AZLAN


P/s: Dikesempatan ini, saya ingin ucapkan tahniah dan terima kasih pada Tabung Haji kerana telah memberikan perkhidmatan yang sangat cemerlang, berkorban tenaga untuk seluruh jemaah termasuklah saya sekeluarga. Syukur dan bangga jika dibandingkan dengan pengurusan jemaah negara lain. Alhamdulillah


Thursday, September 30, 2010

Mohon Bantuan

Waja, Silver. WLG 9170. Registered Nov 2003. 
Pics taken Dec 2004

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Semalam, pada jam 8.35pm, selepas makan malam bersama bapa di restoran berdekatan, saya dapati bahawa kereta saya telah dicuri. Kejadian berlaku di bahu jalan Lorong Medan Tuanku 2, Kuala Lumpur. 

Laporan Polis telah dibuat di IPD Dang Wangi. Saya difahamkan siasatan dan gerakan mengesan semula kereta saya sedang dijalankan.

Jika ada sebarangan maklumat, mohon jasa baik rakan-rakan dan pengunjung blog saya menghubungi Pegawai Penyiasat IPD Dang Wangi Sarjan Mejar Shukor di talian 019-3245442.

Buat masa ini, saya tidak mahu mengesyaki atau mengaitkan kehilangan kenderaan saya ini dengan perbicaraan yang sedang berlangsung. Saya serahkan kepada pihak Polis untuk menyiasat.

Di sini saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan serta orang ramai diatas keperihatinan,bantuan dan doa sejurus saya mengumumkan berita kehilangan tersebut di Facebook dan Twitter malam tadi.

Kereta tersebut banyak kenangan dan jasanya. Ia juga merupakan hadiah dari Arwah Ibu sebelum beliau kembali ke Rahmatullah pada tahun 2004.

Apapun, sebagai hamba Allah, saya akan terus berdoa, tenang dan sabar. Insyaallah, jika ada rezeki, pulanglah ia, jika tiada, maka saya Redha.

Diharap rakan-rakan diluar sana terutama pemilik kenderaan mengambil iktibar dan berhati-hati. Kes kecurian kenderaan sudah menjadi perkara normal semenjak akhir-akhir ini. Ia boleh berlaku pada sesiapa sahaja.


SAIFUL BUKHARI AZLAN

Saturday, June 5, 2010

Dirgahayu Tuanku

Merafak Sembah dan Setinggi-Tinggi Ucapan Tahniah


Semoga Allah Lanjutkan Usia

SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG
AL-WATHIQU BILLAH TUANKU MIZAN ZAINAL ABIDIN IBNI
AL-MARHUM SULTAN MAHMUD AL-MUKTAFI BILLAH SHAH

Sempena

Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda
Pada 5hb Jun 2010 Bersamaan 22 Jamadilakhir 1431H




Friday, June 4, 2010

Cahaya kebenaran sedang bersinar..


"Melihat kepada keputusan laporan ini, sejarah kes daripada Mohd. Saiful, saya dapat mengatakan secara konklusif sekarang bahawa terdapat penetrasi yang konsisten dengan apa yang diberitahu oleh mangsa kepada mahkamah ini bahawa bahan pelincir digunakan semasa insiden itu dan ini mengakibatkan tiada kecederaan ditemui pada duburnya," kata Dr. Mohd. Razali. 
  

Akan terus berdoa, tenang, istiqamah, dan sabar..

SAIFUL BUKHARI

Wednesday, May 12, 2010

Ugutan lagi.. Laporan Polis



                                                              *typo error: Message= Mesej
Pautan:

Friday, April 9, 2010

Harapan Tanpa Suara


HARAPAN TANPA SUARA

Di dalam kandungan ibuku tersayang
Amannya kurasakan
Degupan jantungmu, jantungku
Irama penuh syahdu

Kuingin rasai kehangatan pelukan
Belaian kasih sayang
Kujaga kau di hari tuamu
Andai panjang usiaku

Korus:

Namun hanya harapan tanpa suara
Di dunia cuma seketika
Jasad kaku dibaluti kertas usang
Terbiar bagai sampah terbuang

Di manakah ibu di manakah ayah 
Bonekakah atau manusia
Anak tidak berdosa menjadi mangsa
Oleh hawa nafsu yang serakah

Lagu: S. Atan
Lirik : Habsah Hassan

Untuk mendengar lagunya, boleh klik di sini


Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Saya amat mengalu-alukan insiatif dan usaha murni akhbar Utusan Melayu ini. Sememangnya, jenayah membuang/membunuh bayi ini tidak dapat diterima oleh seorang manusia yang waras dan bertamadun. Saya menganggap mereka ini lebih hina dan kejam dari binatang.

Atas semangat kemanusian, Marilah kita bersama-sama berganding bahu tanpa mengira agama dan bangsa membanteras jenayah yang tidak bertamadun ini. Ia satu dosa yang amat besar, tidak kira agama mana sekalipun.

Sirami diri dengan iman dan pegangan agama yang betul.

Stop Killing Babies!

 SAIFUL BUKHARI

Thursday, March 25, 2010

Terus Bersabar..

 *Ulasan saya dibawah*
KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Mohd Saiful Bukhari Azlan, pengadu dalam kes liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tertuduh, akan disoal balas di Mahkamah Tinggi di sini oleh pihak pembelaan pada 10 Mei ini.

Mohd Saiful sepatutnya disoal balas pada 8 Feb setelah pihak pendakwaan selesai membuat pemeriksaan utama pada 5 Feb tetapi kes itu tertangguh kerana Anwar memohon supaya Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menarik diri kerana didakwanya berat sebelah tetapi hakim itu membuat keputusan untuk tidak menarik diri.

Dalam prosiding pada 18 Feb, mahkamah menetapkan Khamis untuk sebutan sehingga menunggu selesainya rayuan Anwar berhubung keputusan Hakim Mohamad Zabidin untuk tidak menarik diri.

Bagaimanapun, pada 16 Mac, Anwar menarik balik rayuannya itu dengan alasan mahu supaya kes itu dipercepatkan.

Pada Khamis, Hakim Mohamad Zabidin menetapkan 10 hingga 14 Mei, 31 Mei hingga 4 Jun, 14 Julai hingga 23 Julai dan 2 Ogos hingga 30 Ogos untuk menyambung semula perbicaraan.

Anwar, 63, yang juga ketua pembangkang dan penasihat Parti Keadilan Rakyat mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan meliwat Mohd Saiful, 25, bekas pembantu peribadinya, di sebuah apartmen di Bukit Damansara pada 26 Jun 2008.

Apabila mahkamah bersidang pada Khamis, Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pasukan pendakwaan, meminta mahkamah menetapkan tarikh seawal minggu depan bagi meneruskan perbicaraan kes itu.

Bagaimanapun, peguam utama Anwar, Karpal Singh, berkata beliau dan Anwar perlu menghadiri persidangan Dewan Rakyat yang sedang berlangsung. Anwar ialah Anggota Parlimen Permatang Pauh manakala Karpal ialah Anggota Parlimen Bukit Gelugor daripada DAP.

Mohamed Yusof berkata bahawa itu tidak boleh dijadikan alasan tetapi Karpal menjawab bahawa beliau dan Anwar mempunyai tanggungjawab untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

Karpal mencadangkan Julai sebagai tarikh yang sesuai kerana beliau boleh hadir sekiranya kes itu ditetapkan sepanjang bulan itu.

Bagaimanapun Hakim Mohamad Zabidin berkata tarikh itu terlalu lewat dan mencadangkan pula ia dijalankan pada Mei, dan selepas pihak-pihak terlibat berbincang dalam kamar hakim kemudiannya, tarikh-tarikh itu dipersetujui.

-- BERNAMA

---------------------------------------

[Ulasan Saya]

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Pagi tadi, saya hadir di Mahkamah Tinggi Jalan Duta untuk sebutan semula kes setelah ia ditangguhkan ekoran rayuan(sudah ditarik balik) DSAI untuk mengugurkan Hakim tempoh hari.

Menurut peguam saya, sesi sebutan kes secara kebiasaannya hanya untuk menetapkan tarikh perbicaraan. Namun, saya hanya bersiap sedia jikalau sekiranya perbicaraan dimulakan serta merta. Insyaallah, saya tetap bersedia untuk disoal balas seperti sesi-sesi yang tertangguh sebelum ini.

Hangat juga semasa sesi rundingan tarikh tadi. Dikatakan pihak DSAI pada mulanya mahu sambung bulan Julai, atas alasan antara lain DSAI perlu hadir sidang parlimen, dan beberapa sebab lain. Berbeza dengan pendirian beliau pada minggu lepas, di mana beliau mahukan kes ini dibicarakan secepat mungkin. Boleh rujuk artikel ini

 Namun pihak DPP bertegas untuk ia dimulakan seawal mungkin.

 Setelah dirunding, inilah tarikh yang akhirnya disepakati dan dimuktamadkan YA Hakim. 10/5-14/5, 31/5-4/6, 14/7-23/7, 2/8-30/8.

 Saya terima dan menghormati keputusan tersebut.

Akhir kalam, pada pihak-pihak dan rakan-rakan yang senantiasa mendoakan, membantu dan memberi sokongan, dengan rasa rendah diri, saya ucapkan jutaan terima kasih. Saya amat menghargainya. Semoga Allah membalas jasa baik anda sekalian.

Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Saya akan terus tenang, sabar, berdoa dan istiqamah.

Kepada Allah saya berserah..

SAIFUL BUKHARI

Monday, March 8, 2010

Happy Birthday Mama.. Al-Fatihah.

Pusara Allahyarhammah

Me with My Beauty Queen. 1986, 1 year old.

Semalam merupakan hari ulang tahun kelahiran Allahyarhammah Ibu saya, Hjh Halina bt Mohd Alip. Beliau dilahirkan pada 7hb Mac 1962. Beliau telah kembali ke Rahmatullah akibat kanser payudara di Wad ICU Pantai Specialist, Bangsar pada jam 11.48pm 20/7/2004. Ketika itu Allahyarhammah baru berusia 42 tahun.

Semasa beliau menghembuskan nafas terakhir, saya dan keluarga berada disisinya. Beliau pergi dengan penuh tenang dan Alhamdulillah, Kalimah Syahadah adalah ungkapan terakhirnya..

“Ya Allah, tempatkanlah Roh Mama ditempat yang terbaik di sisi Mu, cucuri Rahmat keatas Rohnya, terima segala amalan dan amal jariahnya, ampunkanlah segala kesalahannya, dan satukanlah saya, adik dan seluruh kaum kerabat saya di syurga kelak bersama Allahyarhamah Mama.. Amin.”

Happy Birthday Mama.. Miss you.. Al-Fatihah..


SAIFUL BUKHARI AZLAN

Monday, February 22, 2010

Terus tenang dan sabar


Assalammualaikum dan salam sejahtera

Prosiding Tangguh

Seperti yang anda semua sedia maklum, perbicaraan ditangguhkan lagi buat kali keberapa pun saya tak pasti, mungkin ke-25, wallahualalam. Kali ini, ia ditangguhkan bagi memberi laluan pada pihak tertuduh untuk mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan setelah YA Hakim menolak permohonan mereka supaya YA Hakim menarik diri dari mendengar perbicaraan.

Ratusan soalan/persoalan diajukan terutama dari para penyokong tertuduh pada saya selepas saya selesai memberi keterangan untuk sesi Pemeriksaan Utama(Examination-In-Chief) oleh pihak pendakwaan. 

Saya mohon maaf kerana tidak dapat menjawabnya kerana saya masih lagi dalam proses memberi keterangan. Soalan-soalan seperti itu hanya akan dijawab semasa sesi soal balas(cross-examine) oleh pihak tertuduh yang sehingga ke hari ini belum bermula.

Setiap hari(selepas sesi Pemeriksaan Utama selesai), seawal pagi saya sudah tiba dan bersedia dibilik saksi untuk menyambung pemeriksaan keatas saya bagi sesi pemeriksaan balas(cross-examine). 

Tekanan

Pelbagai usaha “halus” dan tekanan digunakan untuk melemahkan semangat saya. Antaranya desakan memohon untuk gugurkan pertuduhan. 

Saya mohon pada semua pihak untuk memberi ruang pada Mahkamah untuk mengadili kes saya ini.

Mohon untuk kes saya ini tidak dijadikan isu-isu lain oleh pihak-pihak berkenaan. Kes ini adalah melibatkan aduan saya kepada pihak polis melalui laporan polis yang saya buat keatas DSAI. Ia diklasifikasikan sebagai kes jenayah, bukan yang selainnya.

Sudah lama saya sudah bersabar (lagi 4 bulan genap 2 tahun).

Dugaan

Pelbagai bentuk tekanan dilakukan pada saya dan keluarga oleh pihak-pihak berkenaan. Dalam bentuk tulisan, ceramah, di alam siber dan pelbagai lagi. Yang terbaru, Facebook “I Hate Saiful Bukhari”. Pelbagai kata-kata yang tidak baik dan kesat yang dilemparkan keatas saya di situ.

Tidak mengapa, saya redha dan akan terus bersabar.

Pada hemat saya, biarlah diri ini dilemparkan kata-kata yang tidak baik dan kesat, yang mana lebih baik daripada daripada dihina Allah SWT kerana tidak berani menegakkan yang HAK.

Saya mendoakan agar mereka diberi petunjuk dan hidayah oleh Allah SWT agar diperlihatkan kebenaran suatu hari nanti. Saya sedikit pun tidak marah atau terasa hati.

Doa dan Iltizam

Walauapapun pelbagai tekanan, dugaan dan cabaran yang terpaksa ditempuhi, Insyaallah, saya akan terus tenang, berdoa, istiqamah dan sabar. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Kepada Allah saya Berserah

SAIFUL BUKHARI AZLAN

p/s: Untuk Facebook, hanya profile ini(sudah penuh) dan page ini kepunyaan saya. Selain dari itu, ia adalah palsu. Mohon untuk tidak accept/add profil tersebut. Terdapat banyak maklumat mengenai yang saya terima dari rakan2 FB. Antaranya, pengakuan palsu. Harap maklum.

Firman Allah:

'' Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. '' (Surah An-Nisaa: 135)

Pautan: 

Saturday, February 13, 2010

Trial, Delay, Cross-Examination, Facebook & Happy Chinese New Year!




Maaf lama tidak update blog, tidak berkesempatan. Berikut adalah beberapa perkembangan terkini tentang diri saya: 

Perkembangan perbicaraan:
Pada ketika ini, saya di dalam proses untuk di soal balas(cross-examine) oleh pihak peguambela tertuduh. Walaubagaimanapun perbicaraan ditangguhkan buat sementara ke 18hb Feb 2010 untuk Mahkamah membuat keputusan tentang permohonan peguam tertuduh supaya Yang Arif Hakim yang mendengar kes ini menarik diri daripada mendengar kes.

Maklum balas perbicaraan:
Maaf, saya tidak boleh memberi apa-apa komen tentang keterangan saya kerana kes ini masih diperingkat perbicaraan dan kerana saya belum selesai memberi keterangan di Mahkamah.

Mengenai mengapa untuk insiden, ia dibicarakan secara "tertutup" juga saya tidak dapat mengulasnya. Ia dibuat atas permohonan pihak tertuduh dan saya menghormati keputusan Yang Arif Hakim untuk membenarkannya.

Persediaan:
Saya tetap bersedia untuk menyambung proses saya memberi keterangan. Akan terus istiqamah, berdoa dan bersabar.. 

Doa dan sokongan:
Alhamdulillah, berkat doa dan sokongan semua pihak, saya dapat bertahan sehingga ke hari ini dengan penuh tenang dan sabar. Terima kasih diatas doa dan sokongan yang diberikan. Saya amat menghargainya. Semoga Allah membalas jasa-jasa anda.

Satu sahaja saranan saya, dalam kita menyampaikan/menegakkan Kebenaran, jadikanlah Rasulullah sebagai contoh dan panduan. Baginda melakukannya dengan penuh berhemah, tenang dan sabar walaupun di caci dan di cerna musuh-musuhnya dengan amat dasyat sekali..

Insyaallah, dengan IzinNya, Kebenaran akan bangkit jua..

Facebook:
Untuk makluman, akaun Facebook saya sudah penuh(max 5000 sahabat). Justeru, atas perbincangan dengan rakan-rakan FB lain, mereka mencadangkan supaya membuka FB Page. Saya namakan ia sebagai FriendPage, bukan FanPage. Salam perkenalan

Tahun Baru Cina:
To all who is celebrating Chinese New Year, I would like to wish you all a Happy New Year. 
May you have a prosperous year ahead. Gong Xi Fa Chai!! ;)


SAIFUL BUKHARI AZLAN


p/s: Akaun FanPage “Justice 4 Saiful Bukhari” telah digodam oleh individu2 yang tidak bertanggungjawab. Ini kerana akaun FB individu yang membuka FanPage tersebut untuk saya telah digodam. Harap Maklum.

Tuesday, February 9, 2010

Laporan Polis






Saya Mohd Saiful Bukhari Bin Azlan iaitu pengadu bagi Kes pertuduhan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang dibicarakan pada masa ini yang mana saya adalah didalam proses memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagai saksi pertama. Saya pada hari semalam,  8/2/10 telah menerima satu email dari individu yang tidak dikenali. Didalam email tersebut, apabila saya membacanya ianya mengadungi satu pernyataan yang disiarkan didalam Fanpage Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tertulis seperti berikut:

“ ANAZ ZAHARI: Kepada rakan2 sekalian…sape2 yg mengenali ataupun berjumpa dgn saiful bukhari azlan dimana2 saja,anda diwajibkan membunuh beliau dgn apa cara sekalipun demi keamanan manusia sejagat…”

Saya lampirkan disini sesalinan kandungan gambar “printscreen” Wall Fanpage Datuk Seri Anwar Ibrahim dimana individu tersebut telah membuat pengumuman/”shoutout” yang dilampirkan pada email saya tersebut.

Adalah jelas pernyataan tersebut dibuat oleh individu yang dikenali sebagai Anaz Zahari yang berdaftar dengan laman Facebook.com.

Saya dengan ini menyatakan bahawa ini adalah satu ancaman bunuh keatas diri saya dan ini adalah suatu ancaman yang serius. Saya bimbangkan keselamatan diri saya dan keluarga.

Ini sahaja laporan saya.


(MOHD SAIFUL BUKHARI AZLAN)
 9hb Februari 2010

p/s: Dipecayai, beliau telah delete/disable profil. Ini dibuktikan apabila saya Google keyword "Facebook Anaz Zahari", ia masih ada. Namun, apabila klik pada link tersebut, "profil not found".
http://www.facebook.com/people/Anaz-Zahari/100000055703387

Friday, January 29, 2010

Tangguh Lagi?


Assalammualaikum dan Salam sejahtera,

Maaf lama tak update blog, tak berkesempatan untuk online sejak kebelakangan ini. Berikut adalah ulasan terkini mengenai kes:

Permohonan Penangguhan Tertuduh

"Kuala Lumpur 28 Jan - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mengemukakan permohonan pada saat-saat akhir bagi menangguhkan perbicaraan kes liwatnya yang dijadualkan bermula Selasa depan. Beliau memfailkan notis rayuan pada 10 Disember tahun lalu setelah tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Mohamad Zabidin yang menolak permohonannya itu pada 1 Disember tahun lalu." - Utusan 29/1/09 -

[Ulasan saya]Untuk makluman, walaupun Perbicaraan Utama belum bermula, mengikut rekod, dari hari pertama pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008, sudah lebih kurang 20 kali perbicaraan ini ditangguh dek kerana permohonan2nya sebelum ini.

Selama ini, Hanya SATU sahaja permintaan saya, iaitu untuk memberi keterangan di Mahkamah. Namun, setelah sekian lama saya menanti dengan sabar, beliau masih berusaha sedaya upaya untuk menafikan HAK saya.

Walaubagaimanapun, sama-sama kita nantikan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi pada 2hb Febuari ini sama ada permohonan penangguhan beliau diterima atau sebaliknya.

Akan terus berdoa, istiqamah dan bersabar, kepada Allah saya berserah...


SAIFUL BUKHARI

Saturday, January 23, 2010

Al-Fatihah..



Sebagai anak Negeri Johor Darul Takzim, patik mohon untuk merafak sembah setinggi-tinggi takziah kepada seluruh Kerabat Diraja Johor di atas kemangkatan kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail. Semoga Roh Almarhum Baginda dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan para solihin.

Al-Fatihah..

Friday, January 15, 2010

Hari Kebenaran semakin hampir.. Mohon doa dan bimbingan..


Terus Berdoa, Istiqamah dan Sabar..
 Tahun 2010/1431: Tahun Kebenaran
Hari Kebenaran yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia bakal tiba. Syukur kehadhirat Allah s.w.t kerana dengan Izin-NYA, saya masih lagi dapat bertahan untuk meneruskan perjuangan hingga ke hari ini.

Dalam meniti hari-hari terakhir episod penantian yang bakal menjangkau satu tahun setengah ini, persiapan rapi perlu dilakukan bagi memperlengkapkan diri sebelum masuk ke gelanggang perbicaraan nanti. Akan tetapi, pada hemat saya persiapan yang dilakukan secara bersendirian mesti banyak kelemahan-kelemahannya.

Maklumlah, ilmu pun tidak secukup mana dan ini baru pertama kali saya akan beri keterangan di mahkamah.

Justeru, saya dengan rasa rendah diri ingin memohon jasa baik anda bagi memberi bimbingan(tips2) persiapan perbicaraan dari segi psikologi, spiritual, kekuatan rohani, perundangan, bahan bacaan, cara-cara memberi keterangan, menjawab soalan, atau ilmu-ilmu yang sepatutnya bagi memantapkan diri saya apabila di mahkamah kelak.

Kepada yang sudi membimbing , bolehlah menghantar kiriman anda ke alamat email HariKebenaran@gmail.com , diruangan komentar entri ini, atau di Facebook saya

Nasihat dan bimbingan oleh pakar-pakar dan profesional yang berkenaan dan para ilmuan juga amat dialu-lukan.

Kesudian anda untuk membimbing dan membantu saya dahului dengan ucapan terima kasih.

Semoga Allah s.w.t membalas jasa-jasa anda.

Akhir kalam, saya berharap agar pihak tertuduh tidak lagi berdolak dalih untuk menangguh perbicaraan yang bakal berlansung pada 25hb Januari 2010 ini nanti.

Akan terus berdoa, istiqamah dan sabar. Kepada Allah saya berserah..

Yang HAK Pasti BERDIRI, Yang BATIL pasti JATUH!

SAIFUL BUKHARI

p/s: Atas faktor 'keselamatan', saya ingin mohon maaf terlebih dahulu kerana saya tidak dapat membalas email-email yang dihantar. Identiti pengirim juga akan dirahsiakan. Hanya kiriman di Facebook akan dibalas. Harap maklum. Terima kasih

Pautan

Wednesday, January 6, 2010

Sokong kalimah Allah untuk bukan Islam: DSAI Kufur?




Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Diatas merupakan video ucapan tertuduh mengenai Isu Kalimah Allah semasa PRK Batang Ai tempoh hari.

Berikut pula adalah fatwa atau pendirian Datuk Dr Haron Din baru-baru ini:

"Mana-mana umat Islam yang menyokong keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah 'Allah' dalam akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly dalam penerbitannya boleh membawa kepada KEKUFURAN. Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din berkata, menyokong kepada sesuatu perkara yang salah di sisi Islam juga secara tidak langsung boleh menyebabkan berlakunya kekufuran dan syirik." - mStar -


Jika benar fatwa/pandangan Ustaz Haron Din ini, saya doakan semoga terduduh(DSAI) diberi hidayah dan kembali ke jalan yang benar...



Yang HAK pasti BERDIRI, Yang BATIL pasti JATUH!

SAIFUL BUKHARI

p/s: Kepada pada pengunjung yang mempunyai Facebook, mari kita rapatkan saf  menyokong kumpulan "MENENTANG PENGGUNAAN NAMA ALLAH OLEH GOLONGAN BUKAN ISLAM". Disaat saya menulis ini, sudah 98,143 ahli dikumpulkan. Semoga Agama suci kita terus terpelihara. Amin.. Allahuakhbar!