Sunday, February 8, 2015

Menjelang 10 FEB: Harapan, Doa, Kisah Hipokrasi dan 'Keadilan'

Bermunajat pada Allah di puncak Jabal Nur, Gua Hira'. Musim Haji November 2010.
 Cahaya dihujung, Masjidil Haram

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Setelah kes saya ini berlanjutan selama hampir 7 tahun( sejak Jun 2008), akhirnya pada hari selasa ini, tanggal 10hb Feb 2015 ini, ia sampai ke penghujungnya.

Kebenaran ini penting dan amat bermakna buat saya dan seluruh keluarga saya kerana ia melibatkan maruah dan masa depan.

7 tahun bukan satu jangkamasa yang pendek. Semasa saya buat laporan polis, saya baru berusia 23 tahun, kini saya sudah 30 tahun. Sebagai contoh betapa lamanya kes saya ini, Peguam saya Zamri Idrus masa mula kes dulu masih bujang, kini sudah berkahwin dan ada 4 orang anak.

Pelbagai jerih, susah, payah telah saya tempuhi. Juga pelbagai pengalaman pahit dan manis saya perolehi. Syukur kehadrat Allah SWT kerana kurniakan saya kekuatan, perlindungan, bantuan dan ketenangan selama ini.

Insyaallah, jika ada kesempatan nanti, saya akan nukilkan sendiri dalam buku buat bacaan umum. Tak dapat saya nak tulis disini kerana ia terlalu panjang.

Apapun yang pasti, sehingga kini saya tetap Istiqamah, tidak sesekali saya menyesali tindakan saya melaporkan perkara ini.

Terkilan

Terus terang saya ingin luahkan, muktahir ini, saya amat berdukacita dan terkilan. Suara, layanan, keadilan dan keprihatinan terhadap saya sebagai mangsa jarang sekali diambil kira, malah dianggap tidak relevan dan tidak penting. Walhal saya ini mangsa, Anwar Ibrahim orang yang dituduh.

Sungguh mengecewakan saya lagi apabila ramai dikalangan (Parti Kerajaan & Pembangkang, penganalis bebas, orang ramai) yang berbicara dan lebih "prihatin" tentang kesan kes ini terhadap senario Politik , berbanding kebenaran, fakta,  nasib dan keadilan buat saya sebagai mangsa.

Apapun saya sedar dan insaf, siapalah saya.. Saya hanya insan "kerdil" yang tak ada apa-apa kepentingan.. Anwar pula seorang VVIP, tokoh politik yang banyak "kepentingannya". Lumrah dunia..

Hipokrit

Saya juga berasa pelik dan jelek apabila  membaca saranan Anwar dan pelbagai pihak terutama penyokong "Clean & Independent Judiciary"  yang mahukan Kerajaan-Perdana Menteri mencampuri urusan Badan Kehakiman agar membebaskan AI. Pada hemat saya, itu secara jelas dan terang-terangan tindakan yang menyalahi Undang-Undang. Bukankah itu satu Hypocrisy of the Highest Order?  Perjuangkan "Clean & Independent Judiciary" tapi dalam kes saya ini, mereka desak ada campur tangan.

Saya mohon dan berharap agar segala pengaruh mahupun tekanan dari pihak tertuduh, pihak luar, juga anasir politik yang cuba mempengaruhi agar beliau dibebaskan adalah suatu yang mustahil dilakukan.

Keyakinan

Sebagai pengadu dan rakyat kecil, saya berkeyakinan penuh bahawa Mahkamah Persekutuan akan memutuskan kes ini dengan bebas, seadil-adilnya mengikut undang-undang, bukti-bukti dan semua keterangan sepanjang perbicaraan.

Jika keputusan sebaliknya..

Sudah menjadi kebiasaan bagi diri saya dalam menghadapi sesuatu perkara, untuk siapkan diri berhadapan dengan 'worst case scenario'.

Yang pasti, jika ditakdirkan keputusan nanti tidak berpihak kepada saya, saya akan tetap Istiqamah dengan kebenaran ini walau betapa perit sekalipun untuk ditanggung, kerana saya yakin bahawa Allah SWT tidak akan menzalimi hambaNya yang tegakkan kebenaran. Pasti ada hikmahnya.

Jika tidak didunia, di Masyar pasti…

Penghargaan

Di kesempatan ini saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada bapa, isteri tersayang, seluruh ahli keluarga saya yang selama ini berdiri teguh, berdoa, berkorban dan bersama saya, juga kepada semua pihak yang secara langsung dan tidak langsung bersama saya selama hampir 7 tahun ini. Allah SWT sahaja dapat membalas budi dan jasa kalian.

Doa

Disaat ini, hanya Allah SWT sahaja tempat saya mohon pertolongan, berserah dan mengadu. Sama-sama kita tunggu keputusan Mahkamah nanti.

"Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang besar." (At-Taubah 9:129) 

Akan terus berdoa, istiqamah dan sabar.

AI, sanggup buat apa sahaja..

 MOHD SAIFUL BUKHARI AZLAN

3 comments:

dt rahman pekan said...

salam sdr,
saya percaya sdr adalah mangsa. jika para hakim masih kekal dgn pendapat bahawa sdr ada lah saksi yg 'credible' maka amat sukar bagi anwar terlepas.

saya percaya juga salah satu isu yg d bincangkan d antara Obama dan pm Najib semasa bermain golf d Hawaii ia lah anwar...anwar...anwar. Dalam suasana 'real poltics' dunia, segala tekanan/ancaman bolih d utarakan. apatah lagi ke atas negara yg kecil saperti Malaysia.

olih demikian kita harus bersedia menghadapi segala kemungkinan.

kpd Allah swt sahaja kita bolih berserah dan berdoa agar para hakim akan membuat keputusan yg terbaik tanpa tekanan drpd mana2 pihak.

Tai said...

Teruskan perjuangan. Semoga tuhan memberkati anda.

Nizamon said...

Sabar Bro,
Semoga kebenaran akan termaktub jua.