Setelah saya melafazkan Sumpah Laknat di Masjid Wilayah pada Ogos 2008, pelbagai tohmahan dan kecaman yang dilemparkan pada saya dan keluarga. Tidak ketinggalan, spekulasi atau fitnah bahawa saya telah menderita atau dilaknat Allah SWT kerana lafaz sumpah saya kononnya adalah bohong semata-mata.
Ekoran terlalu banyak fitnah yang dilemparkan, atas nasihat keluarga dan peguam, saya telah mengambil beberapa tindakan ke atas pihak terbabit. Tindakan yang telah diambil adalah dengan membuat Laporan Polis dan memfailkan Saman ke atas portal berita Pahang Daily Online yang merupakan antara pihak yang secara agresif memfitnah saya.
Dua tahun sudah berlalu. Namun semalam, dengan kuasa Allah, saya telah dimaklumkan oleh rakan-rakan bahawa pihak Pahang Daily Online telah MEMOHON MAAF secara terbuka mengenai 6 artikel fitnah yang telah disiarkan 2 tahun lalu. Boleh baca disini
Saya telah membaca dan meliti permohonan maaf yang telah dibuat oleh pihak Pahang Daily Online, permohonan maaf tersebut dengan jelas menunjukkkan bahawa selama ini saya berkata benar dan saya TIDAK mengalami apa-apa penyakit kronik ataupun penderitaan seperti yang di fitnah.
Antara fitnah yang telah dilemparkan; saya sakit tenat, memakai tiub dibadan untuk membuang air besar, kemaluan bernanah dan banyak lagi.
Ekoran daripada permohonan maaf ini, saya berharap agar ia menjadi iktibar kepada pihak-pihak yang telah dan masih memfitnah saya di dalam medium masing-masing.
Isu berkenaan permohonan maaf ini memerlukan saya mendapatkan nasihat daripada peguam saya sebelum saya membuat apa-apa tindakan lanjut.
Kebenaran akan bangkit jua akhirnya. Saya akan terus istiqamah, berdoa dan bersabar. Di sini juga saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih pada semua pihak yang tidak putus-putus memberi sokongan dan doa pada saya dan keluarga. Semoga Allah membalas jasa-jasa anda sekalian
Perjuangan menegakkan kebenaran akan diteruskan. Tidak sesekali saya akan mengalah dan berhenti. Kepada Allah saya berserah
Yang HAK pasti BERDIRI
Yang Batil pasti JATUH
SAIFUL BUKHARI AZLAN
Pautan Media: