Wednesday, July 11, 2012

Syukur... Rayuan telah difailkan

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Saya bersyukur kehadrat Allah SWT dan menerima baik keputusan Pihak Peguam Negara didalam memfailkan Petisyen Rayuan ke Mahkamah Rayuan kelmarin terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9hb Januari 2012 yang telah melepas dan membebaskan tertuduh.

Saya dan keluarga ingin menyatakan disini bahawa dengan pemfailan Petisyen Rayuan tersebut, hak untuk aduan saya sebagaimana laporan polis yang saya buat pada tahun 2008 didengar dan melalui proses keadilan sehingga ke peringkat Mahkamah yang tertinggi menurut undang-undang adalah terlaksana.

Kami berharap, tarikh rayuan yang bakal ditetapkan kelak tidaklah terlalu lewat dan prosiding berjalan dengan lancar.

Untuk rekod, pada 28 Jun lepas, genap 4 tahun dari hari saya membuat laporan polis. Walaupun ia satu tempoh yang lama, namun saya akan terus berdoa, istiqamah dan sabar, tidak sesekali saya akan menyerah kalah.

Akhir kalam, Saya dan keluarga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang secara langsung dan tidak langsung memberi sokongan kepada saya agar hak saya sebagai warganegara untuk melalui proses keadilan ke peringkat Mahkamah Rayuan terlaksana.

Kepada Allah saya berserah.

SAIFUL BUKHARI AZLAN

11hb Julai 2012

Wednesday, July 4, 2012

"Mohon Petisyen Rayuan di Failkan" . Kenyataan Media Bapa


KENYATAAN MEDIA BAPA, AZLAN MOHD LAZIM. 

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera.

1. Saya difahamkan melalui berita bahawa Alasan Penghakiman Penuh kes anak saya telah di keluarkan secara rasmi oleh Mahkamah Tinggi.

2.Sehingga kini, saya dan keluarga belum dapat membacanya, justeru kami tidak dapat mengulas mengenainya.

3. Walaupun beberapa bulan (6bulan) menanti ia dikeluarkan, namun saya dan keluarga menyambut baik dengan perkembangan terbaru ini.

4. Namun, apa yang penting bagi saya dan keluarga adalah agar Yang Berbahagia Peguam Negara mengambil pertimbangan yang sewajarnya didalam memfailkan Petisyen Rayuan tersebut dalam jangka masa yang ditetapkan, yang kini saya percaya tinggal kurang dari 10 hari sahaja lagi.

5. Saya percaya bahawa hak untuk anak saya sebagai seorang warganegara dan rakyat yang menjunjung Perlembagaan Malaysia untuk melalui proses Rayuan dan hak untuk aduan anak saya diadili sehingga ke peringkat Mahkamah Yang Tertinggi tidak akan diabaikan dan tidak dinafikan oleh pihak Yang Berbahagia Peguam Negara.

6. Saya dan keluarga amat yakin dengan kepakaran pihak Yang Berbahagia Peguam Negara dan barisan pendakwaan dalam mengenal pasti alasan-alasan bagi menyediakan  satu petisyen rayuan yang terbaik.

7. Apapun saya berharap, Yang Berbahagia Peguam Negara tidak akan mudah terpengaruh dengan desakan mana-mana pihak yang tidak mahu petisen rayuan tersebut difailkan.


AZLAN MOHD LAZIM