Thursday, March 25, 2010

Terus Bersabar..

 *Ulasan saya dibawah*
KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Mohd Saiful Bukhari Azlan, pengadu dalam kes liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tertuduh, akan disoal balas di Mahkamah Tinggi di sini oleh pihak pembelaan pada 10 Mei ini.

Mohd Saiful sepatutnya disoal balas pada 8 Feb setelah pihak pendakwaan selesai membuat pemeriksaan utama pada 5 Feb tetapi kes itu tertangguh kerana Anwar memohon supaya Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menarik diri kerana didakwanya berat sebelah tetapi hakim itu membuat keputusan untuk tidak menarik diri.

Dalam prosiding pada 18 Feb, mahkamah menetapkan Khamis untuk sebutan sehingga menunggu selesainya rayuan Anwar berhubung keputusan Hakim Mohamad Zabidin untuk tidak menarik diri.

Bagaimanapun, pada 16 Mac, Anwar menarik balik rayuannya itu dengan alasan mahu supaya kes itu dipercepatkan.

Pada Khamis, Hakim Mohamad Zabidin menetapkan 10 hingga 14 Mei, 31 Mei hingga 4 Jun, 14 Julai hingga 23 Julai dan 2 Ogos hingga 30 Ogos untuk menyambung semula perbicaraan.

Anwar, 63, yang juga ketua pembangkang dan penasihat Parti Keadilan Rakyat mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan meliwat Mohd Saiful, 25, bekas pembantu peribadinya, di sebuah apartmen di Bukit Damansara pada 26 Jun 2008.

Apabila mahkamah bersidang pada Khamis, Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pasukan pendakwaan, meminta mahkamah menetapkan tarikh seawal minggu depan bagi meneruskan perbicaraan kes itu.

Bagaimanapun, peguam utama Anwar, Karpal Singh, berkata beliau dan Anwar perlu menghadiri persidangan Dewan Rakyat yang sedang berlangsung. Anwar ialah Anggota Parlimen Permatang Pauh manakala Karpal ialah Anggota Parlimen Bukit Gelugor daripada DAP.

Mohamed Yusof berkata bahawa itu tidak boleh dijadikan alasan tetapi Karpal menjawab bahawa beliau dan Anwar mempunyai tanggungjawab untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

Karpal mencadangkan Julai sebagai tarikh yang sesuai kerana beliau boleh hadir sekiranya kes itu ditetapkan sepanjang bulan itu.

Bagaimanapun Hakim Mohamad Zabidin berkata tarikh itu terlalu lewat dan mencadangkan pula ia dijalankan pada Mei, dan selepas pihak-pihak terlibat berbincang dalam kamar hakim kemudiannya, tarikh-tarikh itu dipersetujui.

-- BERNAMA

---------------------------------------

[Ulasan Saya]

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Pagi tadi, saya hadir di Mahkamah Tinggi Jalan Duta untuk sebutan semula kes setelah ia ditangguhkan ekoran rayuan(sudah ditarik balik) DSAI untuk mengugurkan Hakim tempoh hari.

Menurut peguam saya, sesi sebutan kes secara kebiasaannya hanya untuk menetapkan tarikh perbicaraan. Namun, saya hanya bersiap sedia jikalau sekiranya perbicaraan dimulakan serta merta. Insyaallah, saya tetap bersedia untuk disoal balas seperti sesi-sesi yang tertangguh sebelum ini.

Hangat juga semasa sesi rundingan tarikh tadi. Dikatakan pihak DSAI pada mulanya mahu sambung bulan Julai, atas alasan antara lain DSAI perlu hadir sidang parlimen, dan beberapa sebab lain. Berbeza dengan pendirian beliau pada minggu lepas, di mana beliau mahukan kes ini dibicarakan secepat mungkin. Boleh rujuk artikel ini

 Namun pihak DPP bertegas untuk ia dimulakan seawal mungkin.

 Setelah dirunding, inilah tarikh yang akhirnya disepakati dan dimuktamadkan YA Hakim. 10/5-14/5, 31/5-4/6, 14/7-23/7, 2/8-30/8.

 Saya terima dan menghormati keputusan tersebut.

Akhir kalam, pada pihak-pihak dan rakan-rakan yang senantiasa mendoakan, membantu dan memberi sokongan, dengan rasa rendah diri, saya ucapkan jutaan terima kasih. Saya amat menghargainya. Semoga Allah membalas jasa baik anda sekalian.

Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Saya akan terus tenang, sabar, berdoa dan istiqamah.

Kepada Allah saya berserah..

SAIFUL BUKHARI

Monday, March 8, 2010

Happy Birthday Mama.. Al-Fatihah.

Pusara Allahyarhammah

Me with My Beauty Queen. 1986, 1 year old.

Semalam merupakan hari ulang tahun kelahiran Allahyarhammah Ibu saya, Hjh Halina bt Mohd Alip. Beliau dilahirkan pada 7hb Mac 1962. Beliau telah kembali ke Rahmatullah akibat kanser payudara di Wad ICU Pantai Specialist, Bangsar pada jam 11.48pm 20/7/2004. Ketika itu Allahyarhammah baru berusia 42 tahun.

Semasa beliau menghembuskan nafas terakhir, saya dan keluarga berada disisinya. Beliau pergi dengan penuh tenang dan Alhamdulillah, Kalimah Syahadah adalah ungkapan terakhirnya..

“Ya Allah, tempatkanlah Roh Mama ditempat yang terbaik di sisi Mu, cucuri Rahmat keatas Rohnya, terima segala amalan dan amal jariahnya, ampunkanlah segala kesalahannya, dan satukanlah saya, adik dan seluruh kaum kerabat saya di syurga kelak bersama Allahyarhamah Mama.. Amin.”

Happy Birthday Mama.. Miss you.. Al-Fatihah..


SAIFUL BUKHARI AZLAN