Wednesday, December 8, 2010

Kenangan Terindah - Haji 1431

 Malam terakhir di Masjidil Haram bersama Nenek
Berdoa berdekatan Multazam(Pintu Baitullah)
Hari pertama melontar. Baru lepas Tahalul awal (bercukur)
 
Jamrah Kubra, Hari terakhir melontar
Baru selesai Tawaf Ifadhah(Haji)
 Sebelum solat Isyak, Umrah Sunat

 Bermunajat di puncak Jabal Nur. Cahaya terang dihujung-Masjidil Haram
 Umrah Sunat terakhir. Ruang legar Imam Masjidil Haram, Rukun Yamani

Lagi gambar klik disini

Assalammualaikum

Dengan Izin dan limpah kurniaNya, saya telah selamat pulang ke tanah air beberapa hari lalu setelah berada di tanah suci selama 42 hari bagi melaksanakan Rukun Islam yang Ke-5 iaitu Ibadah Haji. Syukur Alhamdulillah!

Saya mengiringi nenek tersayang dan saudaranya. Nenek sudah berusia, memerlukan sokongan kerusi roda untuk berjalan jauh. Kami ikut pakej Muasasah Tabung Haji. Syukur Alhamdulillah, Allah SWT telah mempermudahkan segala urusan sepanjang kami disana. Dan yang paling manis, saya dan Nenek selamat menunaikan Rukun Islam yang Ke-5 dan selamat kembali ke tanah air. =)

Pelbagai ilmu dan pengalaman berharga saya perolehi sepanjang berada disana. Walaupun bukan pertama kali ke tanah suci, namun pengalaman menunaikan Haji jauh lebih mencabar dan menarik berbanding Umrah Ziarah. Suasana dan nikmatnya jauh berbeza. Akan saya kongsi, jadikan permata dan bekalan untuk masa akan datang hingga ke akhir hayat.

Ramai juga kenalan baru dikalangan jemaah yang saya perolehi. Rata-rata memberikan respon yang positif, semangat, nasihat, mendoakan saya dalam perjuangan untuk menegakkan kebenaran dan masa hadapan.

Kesempatan dan peluang berada di tanah suci saya gunakan dengan secukup-cukupnya untuk beribadah, berdoa dan memohon pada Allah SWT. Antara tempat-tempat mustajab yang saya berpeluang untuk berdoa; Wukuf di Arafah, Mina, Makam Rasulullah, Raudah, Multazam, Rukun Yamani, Gua Hira' Jabal Nur dan banyak lagi.

Antara doa yang dipohon; agar terus diberi kekuatan untuk Istiqamah dalam menegakkan kebenaran, diampuni dosa-dosa, kesejahteraan dan keselamatan keluarga, Agama, umat, bangsa dan tanah air tercinta. Juga, mohon Rakyat dibukakan Hijjab agar diperlihatkan yang HAQ dan dilenyapkan segala yang batil!

Sudah dua tahun setengah saya menanti agar Kebenaran dan Keadilan dapat ditegakkan. Walaupun ia belum lagi selesai, namun saya redha dan bersyukur dengan segala bantuan yang Allah berikan. Banyak hikmah disebalik kelewatan, penangguhan demi penangguhan. Mungkin ramai yang telah dapat lihat hikmah disebaliknya. Itulah kebesaran Allah. Dia Maha Berkuasa lagi Maha Mengetahui.

Saya tidak mempunyai apa-apa kekuatan, kuasa, pengaruh, wang untuk berjuang, hanya Allah SWT tempat saya mohon dan mengadu. Walaubagaimanapun, saya akan terus berdoa, istiqamah dan bersabar, tidak sesekali saya akan menyerah kalah! Kebenaran pasti akan bangkit jua akhirnya.

Akhir kalam, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih pada semua yang telah banyak mendoakan, membela dan membantu saya selama ini. Doakan untuk kalian semua tidak pernah saya lupakan, hanya Allah SWT yang dapat membalas segala budi dan jasa anda sekalian.

Salam Maal Hijrah!

Yang Hak Pasti Berdiri,
Yang Batil Pasti Jatuh!

SAIFUL BUKHARI AZLAN


P/s: Dikesempatan ini, saya ingin ucapkan tahniah dan terima kasih pada Tabung Haji kerana telah memberikan perkhidmatan yang sangat cemerlang, berkorban tenaga untuk seluruh jemaah termasuklah saya sekeluarga. Syukur dan bangga jika dibandingkan dengan pengurusan jemaah negara lain. Alhamdulillah